Simulasi CBRNe 'gegarkan' Hospital Selayang

KUALA LUMPUR 8 Nov. - Hospital Selayang gempar apabila digegarkan dengan bunyi letupan di perkarangan kawasan letak kereta hospital itu susulan daripada kemalangan yang membabitkan sebuah kereta dan sebuah lori dengan muatan bahan kimia, pagi tadi.

Dalam kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 11 pagi itu, pemandu lori tersebut dipercayai meletupkan bahan kimia dengan sengaja bagi menyebarkan gas toksik sekali gus mendatang kecederaan kepada orang ramai.

 

Difahamkan, sekurang-kurangnya lapan orang mengalami kecederaan dalam insiden berkenaan selepas terhidu gas kimia yang dibebaskan.

 

Pelbagai agensi keselamatan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dikerah ke Hospital Selayang bagi membantu menyelamatkan mangsa.

 

Itu merupakan gambaran senario yang berlaku dalam demonstrasi keupayaan tindak balas terhadap serangan pengganas yang menggunakan bahan kimia, biologi, radiologi, nuklear dan bahan letupan (CBRNe) di kawasan letak kereta Hospital Selayang hari ini.

 

Pengerusi Jawatakuasa Penganjuran Bersama Ancaman Bukan Konvensional (NCT) Asia, Zalini Yunus berkata, demonstrasi yang diadakan bertujuan bagi membuat penyelarasan pelbagai agensi dalam bertindak balas terhadap pengganas yang menggunakan bahan CBRNe yang boleh menyebabkan kemusnahan dan kematian secara besar-besaran.

 

“Pencemaran gas atau bahan yang kimia biasa kita dengar namun yang dilakukan secara sengaja atau dirancang belum pernah berlaku di negara ini. Menerusi penganjuran secara bersama beberapa agensi kerajaan, kita dapat lihat bagaimana tindak balas mereka sekiranya berlaku kejadian seperti itu di negara ini.

 

“Langkah ini secara tidak langsung memudahkan kita menyiasat dan menangkap pelakunya. Jika berlaku secara besar-besaran, kita akan mengaktifkan bantuan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

 

Demontrasi berkenaan diadakan bersempena persidangan Ancaman Bukan Konvensional (NCT) Asia edisi ke-23 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini sehingga 10 November dan turut melibatkan agensi kerajaan seperti JBPM, PDRM, ATM, Kementerian Kesihatan dan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (Stride). - UTUSAN ONLINE