Phisgoc juga menegaskan, mereka juga mempunyai peruntukan untuk menganjurkan edisi ke-30 temasya yang dijadual berlangsung dari 30 November hingga 11 Disember.

Pengesahan itu dibuat Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yang turut memaklumkan Malaysia akan mengambil bahagian 51 daripada 56 sukan dipertandingkan de­ngan hanya satu acara digugurkan tuan rumah.

“Setiausaha Agung, Datuk Mohd. Nazifuddin Mohd. Najib dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi baru balik daripada menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Exco Sukan SEA 2019, dan kami telah mendapat penjelasan hanya satu acara tidak akan dipertandingkan iaitu besbol wanita.

“Dalam isu lain, persediaan berjalan baik, sukan-sukan lain dikekalkan malah tuan rumah juga memberi jaminan kepada MOM mereka telah mendapat peruntukan untuk menganjurkan Sukan SEA 2019,” katanya selepas mempengerusikan pemilihan Sukan SEA KE-30 di Wisma MOM, hari ini.

Lima sukan yang tidak disertai Malaysia adalah arnis, bola baling, kurash, sambo dan gusti.

Dalam pada itu, Norza memaklumkan Malaysia menjadi negara kelima terbanyak menghantar penyertaan iaitu 824 atlet dan 252 pegawai, menjadikan jumlah keseluruhan 1076. - UTUSAN ONLINE