Pertemuan antara MCKK dan Semashur pada Sabtu ini bagi merebut Trofi Cabaran Pengerusi Malaysia Airports di Tanjung Malim bagaikan aksi ulangan buat kedua-dua pasukan yang bertemu di pentas akhir 2018.

Kapten MCKK, Ahmad Zaril Hariz Mohd. Nazaruddin berkata, pasukannya akan memberi sepenuh perhatian kepada ancaman pasukan lawan selain tidak mahu hilang fokus sewaktu saingan akhir nanti.

“Kami menghormati pasukan lawan dan apa yang penting segala perancangan jurulatih harus kami laksanakan dengan sebaiknya di dalam padang.

“Pasukan kami akan memberikan aksi terbaik dalam usaha mendapatkan gelaran pada musim ini,” kata Ahmad Zaril.

Pada aksi akhir musim lalu, MCKK dinobat sebagai juara selepas menewaskan Semashur dengan keputusan 25-10.

Sementara itu, Pengurus Besar Komunikasi Korporat Malaysia Airports, Nik Anis Nik Zakaria berkata, pihaknya berbangga kerana dapat menjadi penaja utama kejohanan buat tahun kelima berturut-turut selain teruja mampu mempromosikan sukan ragbi dalam kalangan sekolah-sekolah di negara ini.

“Ragbi adalah sukan lestari dengan prospek yang tinggi dan hanya sekolah-sekolah dengan program ragbi terbaik dipilih menyertai kejohanan ini.

“Kami juga gembira dengan impak positif yang dicapai oleh para pemain,” kata Nik Anis. - UTUSAN ONLINE