Malaysia merangkul kejuaraan selepas menewaskan Singapura 17-14 dalam final, sekali gus meninggalkan peserta Sukan SEA seperti Thailand di tempat ketiga, Indonesia (6), Laos (8) dan Brunei di tempat ke-11.

Kejayaan tersebut turut membolehkan Malaysia kembali semula ke Siri Asia 7s 2020 yang disertai negara-negara terbaik dalam Divisyen 1 seperti Hong Kong, Jepun, China, Korea Selatan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) selepas menghuni tangga tercorot tempat kelapan tahun lalu.

Ketua jurulatih, Saizul Hafifi Md Noor menyifatkan kejohanan itu sebagai pendedahan terbaik bagi pemain menjelang Sukan SEA Filipina dari 30 Nov hingga 11 Disember ini.

"Kejayaan ini menyuntik semangat pemain untuk berusaha lebih baik menjelang Sukan SEA. Kita akan memperbaiki kelemahan yang ada sebelum bertolak ke Filipina," katanya.

Dalam Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, Malaysia merangkul emas selepas mengalahkan Singapura 22-7 pada final manakala pada edisi sebelum itu pada 2015 di Singapura, Malaysia membawa pulang pingat perak selepas kalah kepada Filipina. - BERNAMA