Sejak ASN diperkenalkan pada 1966, tiada atlet gimnastik - sama ada lelaki mahu pun wanita pernah mendapat pengiktirafan tertinggi dalam anugerah berprestij itu.

Kejayaan meraih empat pingat Sukan Komanwel Gold Coast, terutama emas riben individu membolehkan bintang dari Selangor itu dinobat Olahragawati Kebangsaan dalam Anugerah Sukan Negara (ASN) 2018 hari ini.

Selain Amy, kejayaan Muhammad Rafiq Ismail muncul Olahragawan turut melakar sejarah tersendiri.

Biarpun boling pernah menampilkan beberapa pemenang sebelum ini, namun Ismail adalah atlet boling lelaki pertama menjulang anugerah itu dalam tempoh 34 tahun.

Kejayaan muncul juara individu dunia di Hong Kong dan meraih pingat emas Masters Lelaki Sukan Asia Indonesia membolehkan Rafiq meraih pengiktirafan.

Selaku pemenang utama ASN 2018, Amy dan Rafiq masing-masing menerima wang tunai RM20,000, selain dua tiket penerbangan kelas perniagaan daripada Malaysia Airlines ke Brisbane (Olahragawan) serta Perth (Olahragawati).

Hadiah disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah dalam majlis ASN 2018 di sini, hari ini.

Sementara itu, seperti dijangka dua atlet olahraga, Mohd. Ridzuan Puzi serta Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin masing-masing dinobat sebagai Olahragawan dan Olahragawati Para 2018. - UTUSAN ONLINE

PEMENANG ANUGERAH SUKAN NEGARA 2018

Olahragawan

• Muhammad Rafiq Ismail (boling)

Olahragawati

• Amy Kwan (gimrama)

Olahragawan Paralimpik

• Mohd. Ridzuan Puzi (para olahraga)

Olahragawati Paralimpik

• Siti Noor Iasah Ariffin (para olahraga)

Pasukan Lelaki Kebangsaan

• Boling: Adrian Ang, Tun Ameerul Luqman Al Hakeem Tun Hasnul Azam

Pasukan Wanita Kebangsaan

• Terjun: Cheong Jun Hoong, Pandelela Rinong

Jurulatih Lelaki Kebangsaan

• Holloway Cheah (boling)

Anugerah Kepimpinan Sukan

• Datuk Sieh Kok Chi (Majlis Olimpik Malaysia)

• Dr. S. Radha Krishnan (Persatuan Sukan Orang Buta Malaysia)

Anugerah Khas

• Hanifah Yoong Yin Fah (Ski Air)

• Datuk Rahim Razali (media)