Rafiq menjadi calon pilihan untuk memenangi anugerah berprestij itu selepas beberapa deretan kejayaan sensasi tahun lalu, dan yang paling besar ialah menjuarai acara perseorangan Kejohanan Boling Lelaki Dunia 2018 di Hong Kong, sekali gus menjadi pemain Malaysia pertama meraih kejayaan itu dalam tempoh 39 tahun.

Meskipun baru berusia 22 tahun, namun pencapaian Rafiq sepanjang tahun lalu cukup membanggakan apabila dia turut meraih emas Masters lelaki pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

Bagaimanapun, Rafiq bakal berdepan cabaran sengit daripada lapan calon lain, terutama jaguh berbasikal trek, Azizulhasni Awang yang sebelum ini turut menjadi pencabar utama atlet itu pada Anugerah SAM-100Plus, dua minggu lalu.

Azizulhasni, 31, yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman memburu gelaran ASN buat kali ketiga selepas memenanginya pada 2009 dan 2010.

Pada Sukan Asia Jakarta-Palembang, Azizulhasni meraih pingat emas acara pecut individu lelaki serta satu perak dan gangsa masing-masing dalam acara pecut berpasukan dan keirin.

Andai Rafiq dinobat sebagai pemenang dalam majlis yang turut dihadiri Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah itu, ia sekali lagi bakal memperlihatkan sejarah tercipta dengan kali terakhir atlet sukan boling diangkat sebagai Olahragawan pada tahun 1984 menerusi, Michael Chuah.

Atlet skuasy, Mohd. Nafiizwan Adnan; Chew Wei Yan (taekwondo), Muhammad Fauzi Kaman Shah (pelayaran), Wong Weng Son (wusyu), Ervin Chang (golf) dan Muhammad Hakimi Ismail (olahraga) turut tersenarai bagi Anugerah Olahragawan Kebangsaan.

Bagi kategori Olahragawati pula, atlet gimrama, Amy Kwan, Siti Zalina Ahmad (boling padang) dan siti Safiyah Amirah Abdul Rahman (boling) menjadi calon pilihan untuk memenangi anugerah berprestij tersebut.

Amy mencipta kejutan pada Sukan Komanwel tahun lalu apabila membawa pulang emas menerusi acara riben, selain, perak dalam acara berpasukan. - UTUSAN ONLINE