Memulakan kempen dengan meyakinkan, namun anak-anak buah Roelant Oltmans akhirnya kandas awal selepas tumpas 1-2 kepada Korea Selatan, sebentar tadi.

Ini kekalahan kedua berturut-turut buat Malaysia selepas kecundang 2-4 kepada India semalam, sekali gus mengekalkan mereka di tangga ketiga biarpun masih ada satu perlawanan untuk diharungi iaitu menentang Kanada, Jumaat ini.

Enam mata yang diraih tidak lagi mampu memintas kedudukan dua pasukan teratas iaitu India dan Korea Selatan yang mengesahkan tiket final selepas mengumpul 10 mata.

Dalam perlawanan di Stadium Azlan Shah di sini hari ini, pasukan negara yang bersama misi mengalahkan Korea Selatan memulakan aksi dengan meyakinan.

Malah, mereka hampir mendahului pada minit ke-15 menerusi percubaan Muhammad Firhan Ashari yang berjaya meletakkan bola ke dalam gawang Korea.

Begitupun, pengadil terlebih awal meniup wisel membatalkan jaringan tersebut dan bantahan pemain negara supaya gol dirujuk kepada video bantuan pengadil (VAR) juga mengesahkan jaringan berkenaan tidak sah.

Di sebalik keghairahan Malaysia mahu memburu gol, lawan terlebih dahulu mencuri peluang apabila mendahului menerusi jaringan padang Lee Namyong pada minit ke-31.

Korea Selatan menggandakan kedudukan empat minit kemudian selepas Jang Jonghyun menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Malaysian Tigers berjaya merapatkan jurang menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Razie Abd. Rahim pada minit ke-46.

Begitupun, usaha Malaysia untuk sekurang-kurangnya mencari gol penyamaan gagal walaupun dihadiahkan empat pukulan sudut penalti pada suku keempat.

Kegagalan terbaharu ini bermakna, kejayaan muncul naib juara pada 1985, 2007, 2009, 2013 dan 2014 kekal sebagai pencapaian terbaik pasukan negara dalam Piala Sultan Azlan Shah. - UTUSAN ONLINE