Kekalahan itu menyebabkan anak-anak buah Roelant Oltmans jatuh ke tangga ketiga di belakang Korea Selatan, yang merampas kedudukan pendahulu dengan mengalahkan Poland 3-2.

Juara Asia, India pula melonjak ke tangga kedua dengan mencatat kemenangan kedua daripada tiga perlawanan.

Dalam perlawanan di Stadium Azlan Shah di sini hari ini, India mendahului seawal minit ke-17 menerusi jaringan Sumit, namun Muhammad Razie Rahim menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-21.

India kembali di depan menerusi Sumit Kumar pada minit ke-27 sebelum menjadikan kedudukan 3-1 hasil jaringan Varun Kumar, minit ke-36.

Biarpun Firhan Ashaari cuba membantu kebangkitan Malaysia dengan merapatkan jurang 3-2 pada minit ke-57, namun jaringan Mandeep Singh seminit kemudian melenyapkan harapan pasukan negara.

Pasukan negara kini akan menentang Korea Selatan esok, sebelum bertemu Kanada pada Jumaat. - UTUSAN ONLINE