Ini adalah kejuaraaan ketiga Korea selepas muncul juara 1996 dan juara bersama India pada tahun 2010.

Dalam perlawanan di Stadium Azlan Shah hari ini, India mendahului menerusi gol padang Simranjeet Singh pada minit kesembilan.

Begitupun, Korea Selatan terpaksa menunggu sehingga minit ke-47 untuk menyamakan kedudukan 1-1 menerusi pukulan penalti Hong Eunseong.

Ketua pasukan, Lee Namyong memastikan Korea Selatan menjulang kejuaraan edisi kali ini apabila menyempurnakan penalti yang menarik selepas mencungkil bola melepasi penjaga gol India, Pathak Krishnan untuk gol kemenangan pasukannya.

Trofi kejuaraan kepada pasukan juara, Korea Selatan disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Sementara itu, Malaysia memenangi aksi penentuan tempat ketiga apabila mengalahkan Kanada 4-2, sekali gus memperbaiki pencapaian tempat keempat pada kejohanan tahun lalu.

Dalam aksi menentang Kanada, Malaysia ketinggalan menerusi gol padang Mark Pearson pada minit ke-14 namun Malaysia bangkit menyamakan kedudukan menerusi gol penyamaan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi pada minit ke-23.

Jaringan itu menyuntik semangat pemain apabila menambah tiga lagi gol masing-masing menerusi gol padang Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal (minit ke-29), gol Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil (minit ke-30) dan jaringan Faizal Saari (minit ke-45) manakala Poland menjaringkan gol kedua pada minit ke-59 menerusi James Walles.

Jepun pula membelasah Poland 6-1 dalam perlawanan penentuan tempat kelima dan keenam. - UTUSAN ONLINE