Beraksi di depan penyokong sendiri, Gillian mengesahkan kejuaraan selepas mengumpul 384 jatuhan pin daripada dua game (200, 184), sekali gus menumpaskan Hyebin dengan kelebihan 36 pin.

Gillian sebelum itu melengkapkan pusingan round-robin dengan menduduki tangga ketiga menerusi 3,327 jatuhan pin, 161 pin ditinggalkan Hyebin manakala Charlene Lim dari Singapura di tempat kedua (3,375).

Agak malang buat Malaysia, harapan meraih gelaran berganda sudah begitu hampir tetapi Hafiz Zainuddin hanya dipisahkan dengan lima pin di belakang pemain Singapura, Xavier Teo untuk sekadar berpuas hati memenangi perak dalam Masters Lelaki.

Hafiz, 19, memberi tentangan hebat kepada Xavier di Megalanes Batu Kawa, sebelum akur dengan kekalahan 427 pin berbalas 432.

Malaysia menamatkan edisi ke-20 kejohanan selaku naib juara keseluruhan menerusi dua pingat emas, empat perak dan dua gangsa.

Korea Selatan terlalu unggul mendominasi saingan dengan enam emas dan tiga gangsa.

Satu lagi emas Malaysia sebelum ini disumbangkan oleh Tun Ameerul Al Hakim dalam perseorangan lelaki.

Edisi ke-20 AYTBC disertai 72 pemain muda dari 10 negara iaitu Australia, Korea Selatan, Macau, Filipina, Bahrain, Singapura, Thailand, Taiwan, Hong Kong dan Malaysia. - UTUSAN ONLINE