Eduardo yang le­bih dikenali sebagai Ze Love gagal beraksi cemerlang dalam perlawanan menentang Kuala Lumpur, Jumaat lalu kerana belum cergas sepenuhnya sejak menyertai skuad Tok Gajah musim ini.

"Ze Love mempunyai sema­ngat juang tinggi apabila mampu bermain 90 minit ketika menentang Kuala Lumpur biarpun belum cergas sepenuhnya.

"Dia sudah menjalani latihan dengan baik dan saya yakin Ze Love mampu buktikan kemampuan sebenar apabila berdepan TFC I nanti," kata pengurus Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang.

Ze Love juga semakin serasi dan dapat menyesuaikan diri de­ngan rakan sepasukan serta corak permainan di negara ini, malah bergandi­ngan baik bersama Dickson Nwakaeme.

Kata Suffian lagi, Tok Gajah perlu menang dalam perlawanan di laman sendiri untuk kembali menambat hati penyokong.

"Kita kehilangan ramai penyokong yang turun ke Stadium Darul Makmur selepas 2015 dan kehadiran empat import baharu terutama Nwakaeme pasti dapat mengembalikan kemeriahan bola sepak Pahang," ujarnya.

Sementara itu, pengendali TFC I, Irfan Bakti Abu Salim me­ngakui, keampuhan bahagian tengah Tok Gajah memerlukan beliau mencongak strategi terbaik bagi membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata.

“Pahang bermain bagus ketika mengalahkan Kuala Lumpur (3-1) dalam perlawanan pertama, mereka juga memiliki barisan pemain import berkualiti.

“Jentera tengah mereka cukup baik, begitu juga dua pemain sayap yang berupaya melakukan hantaran yang boleh mengelirukan pertahanan kami,” ujarnya.