Skuad The Bos Gaurus sebelum ini menyekat hasrat Tok Gajah untuk layak ke final Piala FA dengan kemenangan agregat 4-3.

Pengurus pasukan Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, kemenangan ke atas Perak dapat mengubat luka kekalahan tersebut.

“Rekod permainan di Kuantan lebih memihak kepada kami kerana Pahang menundukkan Perak 3-1 sebelum kita tewas di Ipoh 0-3 pada 29 Jun lalu dalam saingan Piala FA.

“Kita perlu mengekalkan rentak kemenangan dalam Piala Malaysia, namun, perlu sentiasa berwaspada dengan ancaman anak-anak buah Mehmet Durakovic itu,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Mohammed Suffian, jentera serangan yang diketuai Dickson Nwakaeme dan Lazarus Kaimbi perlu lebih menyerlah berbanding sebelum ini.

“Jentera serangan kurang menyengat ketika kita berdepan Pulau Pinang, Sabtu lalu biarpun menang 3-1,” ujarnya.

Beliau memberitahu, semua pemain harus manfaatkan peluang yang terhidang di depan gol dengan baik dan bukannya sekadar melancarkan serangan tanpa jaringan.

“Perak mampu melakukan kejutan sekiranya kita tidak mengambil peluang beraksi di laman sendiri kali ini. Kami menyeru penyokong setia Tok Gajah membanjiri stadium kerana jumlah mereka semakin berkurangan berbanding awal musim,” katanya. - UTUSAN ONLINE