UKM FC masih mengalami kemarau kemenangan selepas enam perlawanan liga dan Sulaiman mengakui, pasukannya kini sedang bergelut dengan masalah prestasi, bagaimanapun, keputusan untuk membawa masuk pemain baharu berada di tangan pengurusan.

“UKM FC bergelut dengan prestasi sebab ketumpulan di bahagian serangan dan saya dalam proses untuk memperbaiki kelemahan ini.

“Memandangkan kami bukan pasukan besar, faktor kewangan diambil kira. Saya perlu tengok dulu dalam satu atau dua perlawanan sebelum pasaran perpindahan tamat. Jika perlu, saya akan maklumkan kepada pengurusan untuk buat pertukaran satu atau dua pemain bagi menguatkan pasukan.

“Keperluan untuk mendapatkan import baharu memang ada, cuma kami perlu melihat kemampuan kewangan pasukan sebab kita tidak mahu terbeban dikemudian hari.

“Saya sudah mengenal pasti beberapa pemain dan masih dalam proses, lihat kepada kemampuan kewangan. Import yang dikenal pasti, seorang dari Brazil, Perancis dan seorang import Korea Selatan sedang berlatih bersama pasukan buat masa sekarang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai pertemuan menentang Sabah dalam aksi liga di Stadium Kuala Lumpur, Jumaat ini, Sulaiman tidak menafikan kehebatan lawan berdasarkan prestasi semasa mereka.

“Berdasarkan prestasi semasa Sabah, tidak dinafikan mereka berada pada tahap terbaik. Kami juga hormat mereka kerana kedudukan Sabah baik dalam liga. Begitupun, kami akan berwaspada dengan ancaman lawan,” katanya. - UTUSAN ONLINE