Pahang yang berada dalam Kumpulan C, telahpun mencatat tiga kemenangan berturut-turut dan mereka kini semakin bernafsu bagi memastikan kejayaan terus menjadi milik mereka, setelah kemenangan 2-1 dicatat Tok Gajah ke atas Sabah pada pusingan pertama di Stadium Likas, 17 Ogos lalu.

Pengurus pasukan Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, kemenangan dalam perlawanan itu akan memberi kedudukan selesa kepada skuad Tok Gajah untuk melangkah ke peringkat seterusnya. 

“Misi kita adalah muncul juara Kumpulan C, jadi kita tidak boleh hilang mata dan perlu berhati-hati dengan kebangkitan pasukan lawan,” katanya di sini, hari ini.

Pahang kini mengungguli Kumpulan C dengan sembilan mata, manakala Sabah kekal menghuni tangga tercorot tanpa sebarang mata. 

Menurut Mohammed Suffian, semua pemain perlu tampil dengan aksi lebih bertenaga dan corak permainan yang menarik untuk dihidangkan kepada penyokong. 

“Kemenangan demi kemenangan yang kita kecapi mempengaruhi penyokong setia Tok Gajah untuk datang memberi sokongan di stadium,” ujarnya. 

Tambahnya, ayam tambatan Tok Gajah, Lazarus Kaimbi dan Dickson Nwakaeme menjadi petaruhan untuk memusnahkan impian Sabah dalam perlawanan tersebut.

“Gandingan mereka menyebabkan Sabah berputih mata di laman sendiri, jadi mereka perlu melakukannya sekali lagi,” katanya. - UTUSAN ONLINE