Safawi yang dibawa masuk pada minit ke-54 menyempurnakan sepakan bebas dari luar kotak penalti pada minit ke-81 untuk memastikan anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee mengutip kemenangan kedua berturut-turut.

Tugas berat bakal menanti Malaysia dalam aksi terakhir Kumpulan J, Selasa ini apabila mereka bertemu China yang mengungguli kedudukan teratas dengan mengutip enam mata maksimum, malah meledakkan 13 gol, selain tidak dibolosi.

Hanya juara setiap kumpulan akan layak ke pusingan akhir secara automatik diikuti lima pasukan terbaik di tempat kedua dan itu bermakna skuad kendalian Kim Swee perlu menewaskan China di venue sama bagi memastikan slot automatik menjadi milik mereka.

Kim Swee perlu meningkatkan lagi ketajaman barisan serangan sekiranya berhajat melakar kemenangan ke atas China selain, barisan pertahanan perlu berhati-hati dengan bola hantaran tinggi yang menjadi kelebihan buat lawannya itu.

Satu lagi aksi Kumpulan J menyaksikan China membelasah Filipina 8-0 di venue yang sama di sebelah petang biarpun merehatkan sebahagian besar tonggak utama. - UTUSAN ONLINE