Skuad Hamzah Mat Yunus menundukkan Terengganu 1-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh untuk muncul juara berganda buat kali pertama selepas menjulang Piala Agong bulan lalu.

“Ini hadiah terbaik untuk tuanku sultan dan anakandanya, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Pahang,” kata Hamzah.

Tuan rumah menjuarai PERR kali keempat selepas 1980, 2011 dan 2016 selain muncul pasukan kelapan bergelar juara berganda hasil jaringan tunggal Hafizi Halim yang menyambung sepakan sudut dari sebelah kanan.

Pahang turut muncul pasukan kelapan yang membolot kedua-dua trofi anjuran Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM) ini selepas Kelantan, Singapura, Kedah, Perlis, Johor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Mengulas mengenai perlawanan, Hamzah berkata pasukannya agak tertekan pada awalnya dan keadaan semakin sukar menuju penghujung apabila Azuan Izam dibuang padang ketika permainan berbaki 12 minit.

“Mujurlah kami masih dapat mengekang asakan hebat Terengganu sepanjang tempoh tertekan itu,” katanya selepas kejayaan bersejarah anak-anak buahnya di hadapan kira-kira 3,000 penonton itu.

Selaku juara Pahang membawa pulang RM60,000 manakala bek tengahnya Hashim Hisyamuddin dinobatkan sebagai Pemain Terbaik perlawanan.

Terengganu yang dibimbing Roshadi Wahab terpaksa ber­puas hati dengan RM40,000 dan terlepas kesempatan terbaik untuk menamatkan kemarau memenangi PERR sejak kali terakhir melakukannya pada tahun 2000.