Presiden Persatuan Bola­sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, proses kemasukan ke dalam skuad kebangsaan dilakukan secara teliti dan mengikut prosedur ditetapkan.

Katanya, FAM memiliki kumpulan teknikal bagi mengkaji dan memastikan pengambilan pemain asing benar-benar memberi kesan positif terhadap prestasi negara dalam jangka masa pendek, sederhana serta panjang.

“Sama ada ambil seorang atau dua tiga orang pemain naturalisasi itu bergantung kepada kumpulan kajian teknikal kita. Kita mengikut peraturan. Sekiranya kita mengambil lima pemain naturalisasi, apakah akan menjejaskan pemain tempatan? Rasanya tidak,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di sini, hari ini.

Menurut Hamidin, FAM akan mengadakan mesyuarat minggu depan untuk meneruskan perbincangan mengenai pelan pengambilan pemain naturalisasi tersebut bagi memperkuatkan skuad kebangsaan.

Jelasnya, para peminat sukan bola sepak tanah air mungkin tersalah anggap dari segi pengambilan pemain tersebut sehingga menimbulkan kerisauan bakat pemain tempatan dipinggirkan.

Beliau memberitahu, panel kajian teknikal akan mengkaji dan merangka mekanisme terbaik dalam pemilihan pemain yang bakal menyarung jersi skuad kebangsaan termasuk mengambil kira faktor usia dan persembahan mereka.

“Kita akan lihat dua elemen. Pertama, berjumpa pihak MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) dan kedua, Kementerian Dalam Negeri kerana jika tiada kelulusan kerajaan, perkara ini tidak akan jadi (tercapai),” katanya.

Berhubung lawatan ke AMD, katanya, FAM akan bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memastikan pemain yang ada di akademi itu menjadi produk pelapis berkualiti.