Ini selepas Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui, kehadiran lebih ramai pemain naturalisasi akan memberi kebaikan kepada pa­sukannya.

Cheng Hoe bagaimanapun berkata, pemain yang hendak dipilih bukan sahaja perlu mempunyai kualiti lebih baik daripada bintang tempatan tetapi juga memiliki karakter yang mampu menjadi contoh kepada pemain muda.

“Kalau ada lebih ramai pemain naturalisasi sudah tentu boleh bantu pasukan tetapi pemain itu harus cepat serasi dan mempunyai sikap bagus jika diserap dalam pasukan.

“Sekarang kita ada ramai bakat muda, jadi pemain itu perlu menjadi contoh terbaik untuk pemain muda,” katanya.

Setakat ini, bintang Pahang kelahiran Gambia, Mohamadou Sumareh menjadi pemain naturalisasi pertama Malaysia, dan dia membuat kemunculan sulung dalam Piala AFF, tahun lalu.

Dalam masa sama, Cheng Hoe mengakui, pengambilan pemain naturalisasi adalah untuk perancangan jangka pendek kerana untuk jangka panjang kemungkinan besar pasukan negara bakal dibarisi pemain tempatan sepenuhnya.

“Saya rasa kita masih ada ramai bakat untuk masa depan, yang penting kita kena percaya dengan bakat muda.

“Sudah tentu untuk jangka pendek (dapat keputusan cepat) kita ambil pemain naturalisasi.

“Begitupun bagi jangka masa panjang saya rasa kita perlukan pemain tempatan,” katanya lagi.

Mengulas mengenai sama ada Cheng Hoe mempunyai senarai pemain yang diinginkan untuk menjadi pemain natura­lisasi, dia menyerahkan segala urusan berkenaan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Terpulang kepada FAM, saya hanya mahu menumpukan kepada persediaan playoff Piala Dunia 2022. Atas kertas kita akan bermain playoff pada Jun ini iaitu di bulan Ramadan dan Raya Aidilfitri, apa pun tunggu kepada undian nanti,” jelasnya.

Bintang tengah Melaka ­United kelahiran Kosovo, Liridon, 27, dan bintang Terengganu, Lee Tuck, 30, yang ber­asal dari England antara pemain yang menyuarakan minat me­nyarung jersi Harimau Malaya jika diberi peluang.

Penyerang Kuala Lumpur, Guilherme De Paula, 32, yang berasal dari Brazil juga pernah menyuarakan hasrat sama.