PKNS FC ketika ini berada di tangga ketiga kumpulan A dengan tiga mata selepas meraih kemenangan ke atas Negeri Sembilan, minggu lalu, manakala, Kedah di tempat kedua apabila gagal mengekalkan rentak kemenangan selepas tewas kepada Terengganu.

Justeru, Rajagobal menyifatkan persaingan yang cukup sengit bakal ditampilkan pada Jumaat ini dengan Kedah pastinya dilihat pasukan pilihan untuk menebus kembali kekalahan di Stadium Darul Aman, tempoh hari.

Namun, itu bukan alasan untuk anak buahnya gentar dengan juara Piala FA 2019 itu kerana peluang masih terbuka untuk kedua-dua pasukan, walaupun rekod pertemuan mereka sebelum ini lebih memihak kepada skuad kendalian Aidil Sharin Sahak dengan dua seri serta dua kemenangan dalam empat aksi terakhir membabitkan Liga Super dan Piala FA, musim ini.

“Kedua-dua pasukan sedar dan tahu di mana kedudukan kita setakat ini dalam kumpulan dan kita sememangnya tidak boleh leka, walaupun sedikit kerana dua-dua nak kemenangan berharga ini.

“Saya mahu setiap pemain fokus dalam perlawanan Jumaat ini dan saya rasa pemain-pemainpun sudah dapat suntikan semangat selepas kemenangan ke atas Negeri Sembilan,” katanya.

Dalam masa sama, tonggak import PKNS, Gabriel Guerra enggan ketinggalan untuk mencipta impak sekali lagi bagi memburu gol peribadi selepas dia membantu pasukan raih kemenangan ke atas Negeri Sembilan menerusi dua jaringan yang dilakukannya.

Guerra tidak mahu momentum yang dicipta minggu lalu berlalu begitu sahaja untuknya memastikan prestasi lebih baik mampu ditampilkan. - UTUSAN ONLINE