Masa depannya dalam sukan itu pada mulanya dilihat cerah apabila dia tersenarai sebagai finalis Kem Bola Astro-Barcelona 2016 dan banyak mengecapi kejayaan selain memenangi anugerah pemain terbaik serta penjaring terbanyak dalam kejohanan yang di­sertainya.

Namun perjalanannya untuk menggapai impian terhenti malam tadi apabila dia menghembuskan nafas ter­akhir akibat kanser darah tahap tiga.

Arwah yang lebih dikenali dengan panggilan Haziq Messi meninggal dunia pada pukul 11.20 malam di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras di Kuala Lumpur setelah menjalani rawatan sejak 19 Januari lalu.

Bapanya Azeman Md. Rashid, 40, berkata, anak ke­duanya daripada tiga beradik itu disahkan mengidap kanser darah atau dikenali sebagai Relapse T Cell Lymphoblastic Lymphoma tahap tiga selepas 10 hari mendaftar sebagai pelajar di Sekolah Menengah Sains Alam Shah, yang terletak berdekatan dengan HUKM.

“Arwah bersemangat untuk sembuh dan kembali bermain bola sepak bersama pasukannya Tunas Lagenda FC.

“Dia mengimpikan untuk menjadi pemain bola sepak profesional dan menyarung jersi kebangsaan namun tidak tercapai,” katanya ketika ditemui pemberita di Felda Kota Gelanggi 1 hari ini.

Jenazah Muhammad Haziq Ikhwan dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Kota Ge­langgi 3 pada pukul 11.45 pagi ini.

Azeman memberitahu, arwah yang mula bermain bola sepak sejak berusia enam tahun menjadikan penyerang pasukan Barcelona, Lionel Messi sebagai idolanya malah turut memakai jersi nombor 10 setiap kali beraksi.

Katanya, dia dapat memba­yangkan masa depan anaknya itu dalam sukan bola sepak cerah sekiranya sembuh setelah tersenarai sebagai finalis Kem Bola Astro dua tahun lalu.

“Kami reda dengan takdir Ilahi dan semua piala yang dimenanginya akan disimpan sebagai kenangan,” katanya.

Tambahnya, arwah sempat membantu beberapa pesakit lain yang dirawat bersamanya dengan menggunakan wang hasil sumbangan orang ramai.