Beliau berkata, rantau ini yang dihuni kira-kira 59 peratus populasi dunia sejak bertahun-tahun telah menarik kehadiran pemain dari seluruh dunia, terutama kelab dari Eropah bagi mengenal pasti potensi pasaran yang belum diterokai untuk perkembangan bola sepak dan pangkalan peminat sukan berkenaan.

Kelab terkemuka dunia seperti Manchester United, Liverpool dan Arsenal dari Liga Perdana Inggeris, serta pasukan La Liga Sepanyol - Barcelona dan Real Madrid - serta Juventus dan Paris Saint-Germain (PSG) memiliki peminat yang ramai dan telah menubuhkan pejabat mereka di benua ini.

Alessie berkata, dengan kelab dari China mungkin dapat mencapai standard seperti kelab Eropah dan bola sepak berkemungkinan mengambil alih tempat kriket sebagai sukan nombor satu di India dalam beberapa tahun akan datang, Asia dijangka menjadi masa depan bola sepak dunia.

Walaupun liga domestik Asia dibayangi liga antarabangsa, terutama Liga Eropah, beliau optimis masa depan bola sepak adalah menerusi liga tempatan.

Beliau berkata demikian dalam wawancara eksklusif dengan Bernama News Channel (Astro 502) di Wisma Bernama di sini, baru-baru ini.

"Tidak, tidak sama sekali...saya fikir salah satu strategi adalah memantapkan liga tempatan. Sebagai contoh rakan kongsi kami (WSF), La Liga, mempunyai pejabat di lebih 50 negara termasuk di Malaysia. La Liga sebenarnya bekerjasama dengan liga tempatan Malaysia untuk mengukuhkan dan mencipta industri bola sepak secara keseluruhan.

"Saya fikir strategi di seluruh dunia untuk bola sepak adalah liga tempatan perlu sentiasa mantap. Selepas itu, La Liga, Bundesliga atau EPL akan bersaing untuk berada di tempat kedua. Tetapi amat penting untuk industri bola sepak secara keseluruhannya memiliki liga tempatan paling mantap dan membantu industri bola sepak," katanya.

Alessie yang juga Ketua Pegawai Operasi Nexus Fostering Partnership berkata, itulah sebabnya Kuala Lumpur sebagai pusat pembangunan bola sepak Asia, dipilih menjadi tuan rumah WFS Asia dari 29-30 April, pertama di luar Eropah selepas tiga edisi yang berjaya di Madrid, Sepanyol.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, beberapa negara Asia, termasuk Malaysia di bawah bimbingan Tunku Mahkota Johor yang juga Pengerusi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, memiliki liga domestik yang baik.

Mengenai cabaran dihadapi industri bola sepak masa kini, Alessie menjelaskan, cabaran terbesar ialah menawan hati peminat di seluruh dunia supaya sukan berkenaan berkembang dan meraih pulangan yang lumayan.

"Jika anda membandingkan pendapatan kelab bola sepak dengan mana-mana syarikat besar di dunia, terlalu kecil (kelab bola sepak). Misalnya, Real Madrid, mereka mempunyai pendapatan tahunan kira-kira 850 juta euro berbanding Apple berbilion-bilion.

"Bagaimanapun, jika anda membandingkan nilai jenama antara Apple dan Real Madrid, tiada perbezaan. Bola sepak mempunyai pangkalan peminat tegar, mereka (syarikat itu) tidak menawan hati semua peminat di seluruh dunia. Itu benar-benar merupakan cabaran hebat perlu dihadapi industri bola sepak global dan ia menunjukkan potensi pertumbuhan," katanya. - BERNAMA