AHMAD KHAIRIL ANUAR AHMAD ZAMRI (duduk kanan) menyambut Aidilfitri
AHMAD KHAIRIL ANUAR AHMAD ZAMRI (duduk kanan) menyambut Aidilfitri bersama keluarga di Ipoh, Perak.

Itu pengakuan bintang muda kian meningkat, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri ketika menceritakan kesusahan hidupnya sebelum bergelar pemain bola sepak profesional, malah turut berjaya membuat penampilan di pentas antarabangsa bersama skuad kebangsaan.

Ahmad Khairil, 22, atau lebih dikenali sebagai Beto berkata, kesukaran keluarga telah mendorong dia berusaha bersungguh-sungguh untuk mengejar cita-citanya sebagai pemain bola sepak.

“Kehidupan keluarga saya susah. Saya masih ingat lagi, ketika kecil sukar untuk ibu bapa saya membelikan saya but kerana mereka tidak mempunyai duit.

“Bagaimanapun disebabkan ada orang lain yang mahukan saya bermain sehingga ada yang sanggup membelikan saya but dan daripada situ saya mula serius dalam sukan bola sepak.

“Saya sudah tidak mengharapkan ibu bapa saya membeli barang keperluan, sebaliknya saya sendiri yang beli. Ibu bapa saya meniaga sate di Tanjung Rambutan dekat Ipoh.

“Cita-cita saya memang ingin menjadi pemain bola sepak profesional dan mahu mewakili Perak. Alhamdulilah tercapai. Jika lebih daripada itu (dapat panggilan skuad kebangsaan) itu satu bonus,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Beto yang mula mewakili skuad kebangsaan pada 2013 turut disenarai dalam skuad projek Sukan SEA 2017, sekali gus membuatkan pemain tengah Perak itu bertekad untuk menghadiahkan pingat kepada ibu bapanya.