Skuad Hibiscus juga perlu mengawasi gerak-geri pemain No. 14 lawan, Jeong Yeon-sik yang begitu berbahaya jika mendapat bola dan banyak mempengaruhi momentum permainan seperti mana aksi sulung di Incheon, 18 Mei lalu.

“Pasukan kita kena bekerjasama dan lebih berikan perhatian kepada No. 14 Korea.

“Jika dapat bola daripada pasukannya, momentum sera­ngan Korea akan meletus,” kata kapten Malaysia, K. Dinesvaran yang lebih dikenali sebagai Dugro.

Dia berkata demikian dalam sidang akhbar di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil baru-baru ini, sambil ditemani ketua jurulatih dari New Zealand, Bradley Moni Mika dan Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Malaysia yang tewas 14-52 di Incheon bakal menanti pelawat di Stadium Nasional, Bukilt Jalil dengan misi menyambar satu kemenangan, sekali gus cuba kekal dalam Divisyen Perdana 2020.

Aksi di Incheon juga menurut Dinesvaran, menunjukkan Korea Selatan mampu tertekan jika Hibiscus memecahbelahkan pasukan lawan menerusi pergerakan kiri dan kanan.

“Kesilapan kami minggu lalu ialah salah membaca permainan lawan dan kerap melepaskan bola kepada mereka,” katanya. - UTUSAN ONLINE