Presiden KRM, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, permohonan itu dibuat sejak tahun lalu dan AR katanya, meluluskan pindaan waktu perlawanan 25 Mei di Stadium Nasional, Bukit Jalil dari 8 ke 9 malam semata-mata kerana menghormati majoriti pemain serta peminat ragbi negara yang beragama Islam.

“Kami juga memang pernah memohon supaya kedua-dua tarikh itu ditunda langsung selepas Ramadan malah cuba menukar waktu perlawanan 18 Mei di Stadium Asiad Namdong, Incheon, Korea Selatan ke s­ebelah malam namun masih ditolak AR.

“Jadi kami akur dengan keputusan AR dan saya harap pemain-pemain kita yang beragama Islam dapat membuat keputusan sendiri sama ada mahu terus berpuasa atau tidak, dalam perlawanan di Incheon itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Shahrul menambah, nasihat daripada pakar-pakar Institut Sukan Negara (ISN) turut diperlukan oleh pasukan negara memandangkan waktu berbuka puasa di Kuala Lumpur masih begitu dekat dengan waktu perlawanan di Bukit Jalil itu khususnya berkaitan pengambilan makanan.

“Pemain mungkin kena­ ­elakkan makan makanan yang berat-berat dan perlu utamakan buah-buahan dan banyakkan cecair bagi memudahkan proses penghadaman kerana waktu berbuka dan perlawanan itu, begitu dekat,” katanya.

Skuad Hibiscus yang di bawah bim­bingan jurulatih dari New Zealand, Bradley Moni Mika sejak tahun lalu kini menghuni ranking ke-45 dunia selepas menewaskan Sri Lanka 31-26 di Stadium Nasional, Sabtu lalu.

Mereka turut akan berdepan Hong Kong dalam dua lagi aksi Divisyen Perdana ARC di Kelab Bola Sepak Hong Kong pada 15 Jun dan melayani kunjungan lawan di Bukit Jalil, seminggu kemudian.

Hibiscus kalah kesemua perlawanan ARC tahun lalu, kepada Korea Selatan 35-10 dan 67-12 serta Hong Kong, 67-8 dan 91-10 dengan kedua-dua aksi di gelanggang lawan, 19 dan 26 Mei 2018 berlangsung dalam Ramadan. - UTUSAN ONLINE