Perkara itu disahkan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim Chee Keong yang dipertanggungjawabkan mengetuai proses perbincangan bagi merealisasikan penubuhan akademi tersebut.

Sim berkata KBS melihat idea penubuhan tersebut sebagai pembentukan sebuah hab menyediakan segenap ruang dan peluang selain pelbagai kursus serta pensijilan kepada masyarakat yang ingin menceburi bidang sukan khususnya sukan sebagai industri.

“Cadangan Akademi Sukan Malaysia ini sebenarnya sedang dalam proses disiapkan kertas kerja dan ia merupakan projek jangka panjang. Misi utama adalah untuk meningkatkan tahap profesionalisme dalam sektor sukan sebagai industri.

“Ia akan memberi peluang kepada orang ramai yang mahu berkecimpung dalam sukan sebagai industri di mana mereka boleh mendapatkan ilmu, kemahiran ataupun mencipta rangkaian berkaitan industri sukan,” katanya kepada Bernama selepas tampil bersiaran secara langsung dalam Buletin Sukan terbitan Bernama News Channel di sini, hari ini.

Menurutnya, akademi tersebut juga akan bertindak sebagai venue perkongsian ilmu dan pusat perkembangan idea berteraskan industri sukan dengan penganjuran pelbagai seminar dan persidangan.

“Secara jujur kalau hari ini ada orang mahu mendalami bidang-bidang tersebut di mana mereka nak pergi untuk mendapatkan ilmu? Ia akan menjadi satu institusi membolehkan semua orang pergi ke sana untuk mengetahui lebih mendalam mengenai industri sukan.

“Di akademi itu juga akan menjadi pentas kepada seminar dan persidangan sukan yang jelas akan membuka mata dan memberi idea baharu demi kelangsungan sukan negara,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata penubuhan akademi itu juga akan menyaksikan penglibatan sektor sukan dalam meningkatkan ekonomi negara.

“Kita selama ini tidak nampak nilai sukan tersebut kepada ekonomi dan negara secara meluas selain daripada kejayaan menyumbangkan pingat emas...apabila Datuk Lee Chong Wei atau Datuk Nicol Ann David meraih kejayaan di pentas dunia, rakyat Malaysia sangat gembira.

“Tetapi pengakhirannya mungkin ada juga rakyat secara umumnya mahu melihat apakah sumbangan lain bidang sukan selain daripada kejayaan meraih pingat kepada negara,” katanya.

Dalam pada itu, Sim berkata KBS masih memperhalusi beberapa aspek berkaitan cadangan tersebut termasuk lokasi dan model pembelajaran bakal digunakan. - BERNAMA