Menurut jurucakap Agensi Mitigasi Bencana Kebangsaan, Agus Wibowo, jumlah titik panas didapati meningkat dengan 124 daripadanya cukup panas untuk menggambarkan kebakaran telah berlaku di seluruh negara pada pagi kelmarin.

“Kerajaan telah mengumumkan darurat di wilayah Riau, Sumatera Selatan, Kalimantan Barat, Jambi, Kalimantan Selatan dan Kalimantan Tengah, iaitu lokasi terletaknya lokasi tanah gambut yang mudah terbakar,” katanya.

Jurucakap itu memberitahu, pesawat-pesawat yang boleh digunakan bagi operasi bom air telah dikerahkan.

Di Riau, pihak berkuasa bencana menyediakan 17 buah helikopter, dengan tambahan 10 buah lagi diambil daripada firma swasta, tentera dan Kementerian Perhutanan.

“Kerajaan bercadang untuk mencipta hujan artifisial bagi memadamkan kebakaran tersebut,” ujarnya.

Pegawai Kementerian Pembangunan Manusia yang menguruskan koordinasi tersebut berkata, hampir 50 juta daripada 260 juta populasi Indonesia berhadapan dengan kemarau di 28 daripada 34 wilayahnya. - BERNAMA