Bukan lumrah senario politik tempatan di mana ahli politik mengkritik kepimpinan tertinggi kerajaan dari parti yang sama terutama sekali apabila luahan tersebut dilakukan dalam akhbar negara asing seperti Singapura.

Tidak menghairankan apabila rakan seperjuangan Nurul Izzah mengkritik tindakan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dan lebih menarik lagi ada juga yang mengalihkan tanggungjawab bersalah kepada akhbar Straits Times.

Malaysia dan Singapura mempunyai beberapa isu tertunggak agak sensitif dan bila Straits Times dituduh sengaja manipulasi isu temu bual Nurul demi kepentingan republik itu. Andaian itu ada logiknya.

Ini kerana label bekas diktator yang dilontarkan Nurul Izzah terhadap Dr. Mahathir disambar oleh Straits Times yang sudah pasti akan memberi persepsi kepada rakyat Singapura betapa sukarnya berunding dengan Malaysia demi mencari penyelesaian isu tertunggak seperti kadar harga air, sempadan maritim dan ruang udara.

Sebab itu dihujahkan tuduhan Straits Times sengaja memperbesarkan isu temuramah Nurul Izzah tidak boleh ditolak begitu sahaja. Tetapi hakikatnya adalah amalan Straits Times itu sebahagian daripada strategi gerak saraf media.

Begitu jua apabila Dr. Mahathir mengutarakan cadangan bahawa kerajaan akan membuat pertimbangan perolehan pesawat tempur dari China sebagai tindak balas sekatan minyak sawit yang dikenakan oleh Kesatuan Eropah (EU), media telah memperbesarkan isu sampingan dan bukannya isu betapa tidak adilnya pendirian EU mengenai minyak sawit.

Timbul persepsi bahawa dasar pertahanan Malaysia akan beralih ke China kerana lazimnya perolehan aset ketenteraan dari negara kuasa besar tertentu akan memberi gambaran strategi pertahanan negara yang membuat perolehan tersebut.

Contoh paling mudah ialah setiap kali Taiwan mendapat bekalan senjata dari Amerika Syarikat (AS), China sudah pasti akan membantah kerana isyarat tersirat perolehan senjata tersebut ialah AS akan melindungi Taiwan daripada pencerobohan China jika perang tercetus.

Betapa hebatnya percaturan persepsi media, Dr. Mahathir terpaksa menongkah berita itu dengan mengumumkan Malaysia tidak akan membuat perolehan pesawat tempur yang baharu memandangkan aset sedia adalah memadai dan dalam keadaan baik.

Kenyataan tersebut dikeluarkan ketika beliau merasmikan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA ’19) kelmarin.

Tetapi paling hebat percaturan persepsi dalam media berlaku ekoran lawatan Dr. Mahathir ke Pakistan minggu lepas. Akhbar The News International yang berpangkalan di Karachi telah melaporkan kerajaan India tidak membenarkan pesawat yang membawa Dr. Mahathir melalui ruang udara India untuk ke Islamabad yang memaksa pesawat tersebut membuat perjalanan yang lebih jauh.

Jika diteliti pelaporan akhbar tersebut, seolah-olah Perdana Menteri India Narendra Modi sengaja tidak memberi kebenaran laluan ruang udara India dengan menjadikan Malaysia sebagai ‘kambing hitam’ dalam persengketaan kedua-dua negara jiran ini akibat dari isu Kashmir.

Oleh kerana setakat ini Pejabat Perdana Menteri atau Wisma Putra belum memperjelaskan isu ini, maka percaturan spekulasi media seperti ini bukan sahaja membuatkan rakyat Malaysia tertanya-tanya tetapi juga menjadi kemusykilan masyarakat antarabangsa kerana dalam dunia diplomasi ini adalah satu isu yang berat.

Tetapi mengikut versi cerita dari New Delhi pula, tiada faedah pihak berkuasa penerbangan awam India (DGCA) memberi kebenaran laluan kerana Pakistan pada ketika itu mengenakan arahan terhadap semua penerbangan dari ruang udara India ditegah memasuki Pakistan.

Jika ditinjau kenyataan dari New Delhi maka ada kebenaran laporan akhbar The News International bahawa kebenaran tidak diberi kepada pesawat yang membawa Dr. Mahathir cuma yang berbeza dari segi mengapa kebenaran tersebut disekat.

Tetapi hakikatnya Islamabad dan New Delhi masing-masing mempunyai agenda tersendiri dan yang menjadi ‘kambing hitam’ ialah Kuala Lumpur kerana Malaysia tidak terkait dengan persengketaan Kashmir.

Ada baiknya jika Kuala Lumpur mengeluarkan kenyataan balas bagi menjelaskan keadaan sebenar supaya spekulasi dalam media ini jika dibiarkan berterusan akan memberi gambaran yang berat sebelah.