Itulah realiti kebanyakan remaja pada masa kini. Kalau pasal artis, lebih-lebih lagi yang baru menang dalam pertandingan popular anjuran sebuah stesen televisyen swasta, dua minggu lalu, memang ‘pakar’. Tapi warisan sendiri tidak tahu.

Ini bukan benda lucu, tapi benar-benar berlaku seperti diceritakan sendiri oleh penggiat boria, Omar Md. Hashim, 64, kepada saya. Lebih membimbangkan Omar yang lebih mesra dipanggil Omara, ada orang dari Pulau Mutiara sendiri tidak tahu dan tidak pernah tengok boria padahal itulah warisan negeri tersebut.

OMAR MD. HASHIM
OMAR MD. HASHIM 

Dia sendiri tidak pasti bagaimana boleh sampai ke tahap itu. Nak dikatakan tiada usaha dilakukan untuk mempopularkan warisan berkenaan, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara ada anjurkan festival dan persembahan boria secara terbuka di Pulau Pinang. Mungkin jarang-jarang dibuat selain kurangnya promosi menyebabkan ramai yang tidak tahu.

Bagi Omara yag pernah dinobatkan sebagai Tokoh Seni Budaya Pulau Pinang, bukan bermakna golongan muda menolak boria. Ini kerana setiap kali dia mempelawa beberapa remaja untuk menyertai kumpulannya, ramai yang memberikan respon baik. Ramai yang mahu jadi ahli boria.

Menurutnya, pelancong asing ke Pulau Pinang juga ada bertanyakan kepadanya di mana mereka boleh tonton persembahan boria, malangnya tiada. Kalau ada pun, sekadar alunan muzik boria ketika menyambut ketibaan penumpang kapal persiaran di Jeti Swettenham, langsung tiada nyanyian mahupun tarian.

PERSEMBAHAN

Bagi memastikan boria tidak dilupakan generasi muda, Omara mengesyorkan pihak berkaitan agar menganjurkan persembahan secara berkala. Ini supaya kalau sesiapa nak tengok, boleh datang. Kalau sekitar 1970-an dahulu, ada pentas di Taman Botani Pulau Pinang membuat persembahan kebudayaan termasuk boria hampir setiap minggu tetapi sekarang tiada lagi.

“Sekarang kalau ada undangan pun secara tertutup seperti majlis makan malam. Jadi orang luar tak boleh tengok.

“Nak tunggu Festival Boria pun setahun sekali, selalunya Disember,” ujarnya yang diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya baru-baru ini untuk penggiat seni yang masih hidup bagi kategori boria.

Selain itu, perlu diwujudkan juga galeri boria supaya orang ramai termasuk pelancong asing boleh mengenalinya. Dengan adanya galeri, mereka boleh tahu perbezaan boria dahulu dan sekarang. Mereka boleh kenal apa itu sketsa, tukang karang, sailor, rangkap karangan, alat muzik digunakan dan pelbagai lagi yang berkaitan.

LUPUS

Kalau perkara-perkara sebegini tidak selalu ‘dibaja’, Omara bimbang yang boria semakin lama semakin dilupakan. Tidak mustahil kalau pada suatu hari nanti boria hanya layak ditempatkan di muzium.

“Kalau tak bagi baja, takut tak subur. Bimbang benda lain pula yang naik, yang datang dari luar (budaya asing),” jelasnya.

Kata Omara, kesannya boleh dilihat sekarang. Lagu-lagu yang didengar dalam televisyen dan radio, slanga yang keluar dari mulut penyanyi lebih kebaratan seolah-olah identiti Melayu dilupakan begitu sahaja.

Begitu juga pertandingan-pertandingan lagu, sudah tiada lagi kategori irama Malaysia. Kebanyakan stesen radio swasta yang popular dalam kalangan orang muda juga susah nak mainkan lagu irama Malaysia. Naib baik ada Klasik FM dan stesen radio negeri-negeri yang masih aktif memainkan lagu-lagu sedemikian.

“Pengaruh televisyen dan radio sangat kuat. Remaja yang sedang membesar, apa yang dilihat dan didengar menerusi media massa, itulah yang diterima dan terbaik buat mereka. Saya takut hal-hal berkaitan warisan mudah mereka lupakan,” katanya.

Saya bertanya, kenapa tidak diberi nafas baharu kepada boria seperti membuat sedikit pengubahsuaian supaya mudah diterima generasi sekarang. Namun Omara tidak bersetuju. Warisan seboleh-bolehnya jangan diubah kerana boleh hilang identiti, cacat jadinya nanti. Baginya, boria tetap boria!

MUZIUM

Bukan sahaja boria, warisan budaya yang lain seperti dikir barat, dondang sayang juga mungkin dilupakan jika kita sendiri tidak melakukan sesuatu dari sekarang. Jangan sampai suatu hari nanti, boria menjadi bahan pameran di dalam muzium sahaja, sekadar tengok menerusi dinding kaca...

Boleh juga tonton video yang saya sediakan di www.utusan.com.my.