Walaupun persengketaan dianggap sebagai masalah dalaman PKR tetapi dua kem yang bertelagah ini mempunyai pengaruh yang agak kuat bukan sahaja dalam PKR sahaja tetapi menjangkau dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH). Tidak keterlaluan jika diandaikan masalah dalaman PKR ini sedikit sebanyak telah mengganggu urusan pentadbiran kerajaan PH kerana PKR adalah antara tonggak utama PH.

HARAPAN rakyat adalah persengketaan merebut jawatan Perdana Menteri
HARAPAN rakyat adalah persengketaan merebut jawatan Perdana Menteri tidak berlarutan. – GAMBAR HIASAN/UTUSAN 

Begitu juga dua individu yang bersengketa ini terdiri daripada entiti yang berpengaruh dalam kerajaan dan paling dibimbangi bukan sahaja wujud dua kem berbeza dalam PKR tetapi besar kemungkinan juga akan berlaku situasi yang serupa dalam kerajaan PH. Apa yang paling perlu dihindari ialah kewujudan kem berbeza yang menyokong antara dua individu sebagai Perdana Menteri.

Jika benar telah wujud dua kem berbeza dalam PH, maka paling dikhuatiri urusan tadbir negara akan menjadi terencat dan yang paling ditakuti ialah siapa juga antara dua individu yang dimaksudkan itu bakal menjadi Perdana Menteri, perpecahan telah pun berlaku.

Mengapa dihujahkan sedemikian rupa ialah pengajaran dari pemilihan pucuk pimpinan Parti Konservatif United Kingdom (UK) yang baru sahaja selesai. Mengapa kempen pemilihan berlaku dengan begitu sengit ialah kerana jawatan yang dikosongkan oleh Perdana Menteri Theresa May menanti pemenangnya dan seperti diketahui Boris Johnson telah menewaskan pencabarnya Jeremy Hunt dengan kemenangan bergaya.

Walaupun proses pemilihan tersebut hanya melibatkan Parti Konservatif, tetapi selama tiga minggu berlangsungnya kempen, kesan perpecahan akibat berebut jawatan Perdana Menteri begitu ketara sekali. Mengapa dihujahkan sedemikian adalah kerana dalam tempoh masa berkempen beberapa urusan negara yang kritikal telah terabai kerana beberapa calon yang bertanding adalah terdiri daripada menteri Kabinet. Apabila menteri Kabinet terlalu taksub berkempen, maka sudah pasti urusan negara akan terabai.

Antara menteri Kabinet yang bertanding ialah Michael Gove (Menteri Alam Sekitar), Sajid Javid (Menteri Dalam Negeri), Dominic Raab (Menteri Brexit) dan Jeremy Hunt (Menteri Luar). Paling mudah dijadikan contoh ialah tanggungjawab pelaksanaan dasar hal ehwal luar negeri bagaikan terabai dan kurang mendapat perhatian kerana menterinya Hunt sibuk berkempen.

Ramai penganalisis berpendapat rampasan kapal tangki Stena Impero oleh Pengawal Revolusi Iran di Selat Hormuz beberapa hari lepas sebenarnya mampu dielakkan dari tercetus sekiranya kerajaan UK memberi perhatian terhadap konflik tersebut dari awal lagi. Tetapi apa yang berlaku ialah bermulanya dengan peristiwa kapal tangki milik Iran Grace 1 yang ditahan oleh pihak berkuasa Gibraltar, dasar luar UK dalam hal ini bagaikan bercelaru.

Mungkin ada juga yang akan berhujah bahawa apa yang telah melanda kerajaan UK tidak mungkin berlaku di Malaysia kerana yang bertelagah bukannya kesemua terdiri dari menteri Kabinet. Tetapi perlu diakui bahawa sudah ada menteri dan timbalan menteri terutama sekali dari PKR yang telah menzahirkan sokongan secara terbuka terhadap kem yang bertelagah dan senario seperti ini sudah pasti akan menimbulkan kecelaruan tidak kira siapa yang bakal menggantikan Dr. Mahathir.

Johnson sebagai Perdana Menteri UK bermula semalam bakal menghadapi masalah membentuk Kabinet kerana diberitakan beberapa menteri Kabinet akan letak jawatan ekoran kemenangan Johnson. Antaranya ialah Menteri Kewangan Philip Hammond dan Menteri Keadilan David Gauke yang kesemuanya berkisar tidak setuju cara Johnson mengendalikan isu Brexit.

Jika diunjurkan masalah yang bakal dihadapi Johnson, maka sudah agak pasti jika antara dua individu yang dimaksudkan menggantikan Dr. Mahathir, masalah yang serupa pasti akan dihadapi kerana telah wujud kumpulan yang berbeza menyokong siapa bakal Perdana Menteri.

Harapan rakyat ialah persengketaan rebutan jawatan Perdana Menteri tidak berlarutan kerana memang benar Malaysia sebagai negara kecil tidak mempunyai pengaruh global sehebat UK. Tetapi hakikatnya ialah lebih lama persengketaan berlarutan maka ia pasti akan merencat urus tadbir negara dan apabila senario sebegini melanda, tidak kira sama ada negara kecil atau kuasa besar ianya tidak baik untuk negara dan rakyat.