Situasi pertandingan di Tugu Budaya Etnik Sabah Ke-10 International Youth Folk Dance Festival 2019 adalah jauh berbeza jika dibandingkan dengan mana-mana pertandingan secara lazimnya.

Perasaan muhibah, kasih sayang, menghormati kepelbagaian dan saling menyokong di antara satu sama lain adalah suasana yang dapat dirasai sepanjang perjalanan program ini.

Hal ini jelas terserlah apabila para penggiat seni yang terdiri daripada guru-guru pengiring dan para peserta dengan mudahnya menjalinkan hubungan persahabatan walaupun baru pertama kali bersua.

Malah koreografer-koreografer dari sekolah yang berlainan pula sering kelihatan minum bersama di gerai-gerai yang disediakan di perkarangan Pusat Kebudayaan Sabah Penampang.

Itu belum termasuk sorakan gemuruh penonton, di mana boleh dikatakan hampir kesemua persembahan pasukan tarian diberi sokongan dan tepukan tanpa mengira pasukan kawan mahupun lawan yang pastinya memberikan suntikan semangat untuk mempersembahkan yang terbaik.

Ternyata tema Tugu Budaya Identiti Bangsa benar-benar menggambarkan identiti bangsa Malaysia yang cintakan perpaduan, menghargai kepelbagaian dan menjulang tinggi hasil karya seni yang kreatif serta kaya daya imaginasi.

Menyentuh keunikan kebudayaan seni tari yang ada, Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur yang bersaing dalam kategori menengah menerusi persembahan keenam ternyata menarik perhatian hadirin pada hari kedua saingan Tugu Budaya Etnik Sabah ke-10 – International Youth Folk Dance Festival.

Berbual lanjut dengan guru pengiring Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur (SSEMKL), Mahyudin Mamat, 32, menurutnya pada mulanya beliau dan pasukan yang terdiri daripada para pelajar tingkatan 1 hingga 5 agak risau untuk membawakan tarian tradisi suku kaum Bajau dari daerah Kota Belud.

“Sememangnya sangat mencabar untuk mempersembahkan tarian tradisi Sabah di hadapan penonton yang kebanyakannya terdiri daripada rakyat tempatan yang lebih arif tentang tarian tersebut, namun kami menyahut cabaran ini dengan mempelajari, menonton video, mengkaji dan seterusnya mendalami budaya suku kaum Bajau.

“Mendapat bantuan koreografer dan khidmat nasihat dari Pusat Kebudayaan Universiti Malaya, SSEMKL akhirnya berjaya menzahirkan Tarian Kuda Pasu di hadapan ribuan penonton yang hadir.

“Kuda Pasu ataupun lebih dikenali sebagai kuda pacu telah dicipta pada tahun 1975 oleh Jeffery Oleh yang berasal dari Kota Belud, Sabah.

“Pergerakan tarian ini seperti meniru pergerakan menunggang kuda dan walaupun pada mulanya hanya ditarikan oleh penari lelaki sahaja tetapi kini penari wanita juga dibenarkan untuk menarikan tarian ini.

“Keistimewaan tarian ini ialah pergerakan kaki yang dipanggil kuda-kuda dan juga gerakan silat.

“Pengalaman menyertai Tugu Budaya buat kali pertama ini memberikan pengalaman dan peluang kepada pasukan kami bukan sahaja daripada aspek variasi seni tari bahkan lebih mengenali kehidupan masyarakat Sabah yang amat peramah dan mudah menghulurkan bantuan,” ujarnya.

Bagi yang hadir menyaksikan festival tari terulung di negeri Sabah ini pula pasti sering kali terlihat sekumpulan anak muda bergegas mengangkat dan menyusun atur setiap props persembahan.

Mereka adalah daripada Tagaps Dance Theatre, kumpulan yang telah menjuarai Kategori Terbuka Etnik Budaya Sabah ke-10.

Menurut seorang anggota Tagaps Dance Theatre, Muhammad Taufiq Mumbarikusain, sejak dahulu Tagaps Dance Theatre secara sukarela sering membantu dalam menyusun atur props persembahan mana-mana pasukan yang memerlukan bantuan kerana bagi mereka ‘Budaya Menyatukan Kita.’

“Tagaps Dance Theatre sebenarnya bukan sahaja boleh menari sebagai satu pasukan tetapi sebenarnya juga menjadi koreografer di sekolah-sekolah yang berlainan, contohnya Azeezan Danial dan Mohd. Hairul Azman (Sekolah Kebangsaan (SK) Tuarid Taud), Carey Didier Chin (SK Guakon Baru), Oliver Odine (SK Stella Maris) dan Muhammad Taufiq (SRK St Agnes).

“Menjadi jurulatih di sekolah-sekolah yang berbeza memang mewujudkan persaingan di kalangan anggota Tagaps Dance Theatre, tetapi pada masa yang sama sentiasa memberi motivasi kepada kami untuk menghasilkan karya yang lebih baik dari masa ke semasa,” ujar Muhammad Taufiq.

Anak didik Nicodemus Markus, Samsul Melawi dan Muhammad Taufiq iaitu pasukan SRK ST Agnes (STADANSA) berjaya menjulang Anugerah Ketua Menteri Sabah bagi kategori sekolah rendah.

Tuah menyebelahi pasukan STADANSA apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan menerusi tarian unik Sambitan (etnik Irranun) dan tarian tradisi Molbog.

Beralih kepada anak-anak cilik dari Keningau, SK Tuarid Taud memanifestasikan karya Iban Merotai di pentas akhir saingan Tugu Budaya.

Mempersembahkan karya seni ‘Little Sarawak in Sabah’ diiringi muzik Sape, SK Tuarid Taud menceritakan tradisi Adat Bejalai’ etnik Iban.

Melalui ‘Adat Bejalai’ ini anak lelaki Iban berhijrah ke daerah Merotai, Tawau dan bertemu jodoh dengan wanita berketurunan Murut di daerah yang sama.

Perkahwinan campur antara dua kaum yang berbeza budaya dan bahasa ini menghasilkan komuniti yang hidup dalam suasana yang harmoni.

Komuniti Iban Merotai telah menjadikan Merotai sebagai kampung halaman, seterusnya menjadi perintis kewujudan ‘The Little Sarawak in Sabah.’

Penyelaras Kelab Kebudayaan SK Tuarid Taud, Vonn Primus sewaktu dihubungi berkata, mengikut kajian melalui temu bual dan pembacaan, difahami ‘Adat Bejalai’ ini masih diamalkan sehingga kini.

“Malah di setiap daerah di Sabah wujud perkampungan Iban dan yang terbesar adalah di Merotai, Tawau,” ujarnya.

SM Lok Yuk Kota Kinabalu (CF) yang merangkul juara keseluruhan kategori sekolah menengah bukan sahaja memukau daripada aspek persembahan Tarian Tradisi Tidung Kalumpang ( Raja Berangkat) dan Tarian Etnik Kreatif Imbayud, malah menariknya juga barisan penari dan pemuzik mereka kebanyakannya terdiri daripada suku kaum Tiong Hua.

Kesimpulannya, penganjuran Tugu Budaya Etnik Sabah ke-10 menjelang Bulan Kebangsaan adalah bertepatan, kerana bukan sahaja menjadi medan menyerlahkan bakat-bakat seni anak tempatan tetapi juga mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan budaya. - UTUSAN ONLINE