“Allah yang Maha tahu,” jawab saya.

Tuanku Rao seperguruan dengan Tuanku Tambusai. Mereka digeruni Belanda kerana kejituan dan kenekatan dalam perjuangannya. Tuanku Rao lebih senior daripada Tuanku Tambusai. Mungkin juga pada awalnya Tuanku Tambusai menerima nasihat Tuanku Rao dan belajar juga daripada Tuanku Rao. Mereka berdua menerima gelaran Fakih. Apakah ada apa-apa karangan agama yang ditulis oleh Tuanku Rao? Hamka sendiri tidak menemui apa-apa selain menemukan sebuah al-Quran bertulis tangan oleh isteri Imam Bonjol.

Tuanku Rao bersama-sama kemenakannya Bagindo Suman dan Kali Alam menyebar ajaran Islam di Langing, Muaro Sitabu, Muara Bangku, Koto Rajo, dan Silayang. Apabila pasukannya tiba di Rokan Hulu, Riau, Tuanku Rao bertemu dengan Tuanku Tambusai mereka bergerak dalam satu pasukan mengislamkan masyarakat Padang Sidampuan, Kotonopan, Padang Lawas, Nakkara, akhirnya mereka tiba di bibir Danau Toba. Untuk masuk menyerang Batak di Danau Toba diutus orangnya buat menyuluh dan meninjau kekuatan pertahanan Batak. Penyuluhnya kembali membawa khabar:

“Biasa-biasa saja, Tuanku!” kata sang penyuluh, “Bangunan rumahnya Boatak, bersusun-susun. Dari kata Boatak inilah menurut Asrul Sani berasal kata Batak itu. Tuanku Rao sudah siap mahu menyerang untuk mengislamkan suku Batak. Kedatangan mereka disambut dengan ketahanan pihak orang Batak. Mereka sudah mendengar kewiraan dan kenekatan angkatan Tuanku Rao. Wilayah Batak dapat diislamkan. Beliau ingin melihat Islam berkembang secara kaffah, bukan tenggelam dengan tahayul, karut marut, faham animistik dan syirik. Tuanku Rao berjaya membunuh Raja Batak Singsingamangaraja X, yang dianggap kebal, disembah sebagai dewa. Dia punya lidah berbulu. Dalam satu riwayat lain, sesiapa yang mahu membunuhnya syaratnya hendaklah memancung sebelum tubuhnya terdampar jatuh ke bumi. Jika tiba di bumi maka sia-sialah. Raja Batak itu akan hidup kembali.

Tuanku Rao memasang strategi. Apabila Singsingamangaraja X, melambung, sebelum mencecah ke bumi pedangnya sudah memenggal kepala Raja Batak itu dan disambutnya. Jadi, raja yang dianggap kebal itupun terkulai mati.

“Tapi, tak mengapa yang membunuhnya adalah kemenakannya sendiri!” helah Mangaradja Onggang Parlindungan (MOP) seorang Insinyur Batak. Dia menulis buku berjudul `Pongkinagolngolan Sinambela Gelar Tuanku Rao’ Teror Agama Islam Mazhab Hambali Di Tanah Batak. Basyiral Hamidy Harahap orang Tapanuli menulis Greget Tuanku Rao.

Onggang mendakwa bukan sahaja Tuanku Rao berdarah Batak malah Tuanku Tambusai juga. Kegagahan mereka adalah kegagahan orang Batak. Dia cuba mengelirukan sejarah dan cuba menabur lumpur pekat fitnah. Tetapi dakwaannya ini, cepat dibantah oleh ahli sejarah seperti Hamka, Profesor Taufik Abdullah dan Profesor Dr. Mustika Zed.

“Bahasan itu mengarah kepada yang lain bukan kepada Tuanku Rao,” kata Mustika Zed. Menurut Hamka, “Buku itu sepertinya mahu mengangkat suku kaum tertentu dan menjatuhkan suku kaum agama lain, “ Kedua-dua buku itu bukan membahas tentang perjuangan Tuanku Rao. Nyatalah MOP tidak mengarifi soal sosial, ekonomi, budaya dan politik orang Rao.

Dalam Seminar tentang buku tersebut (Padang, 23-26 Julai 1969), ditimbulkan kekhilafan dan kesongsangan itu. Yang hadir minta penjelasan daripada MOP. Dia diam menyepi bagaikan tunggul mati. Jelas dia membohongi sejarah. Tuanku Rao dan Tuanku Tambusai itu berdarah minang. Tuanku Rao pahlawan paderi di Rao, manakala Tuanku Tambusai tumbuh di Rokan.

Kedua-duanya mendapat penghormatan dan gelar Harahap dari Tapanuli. Mereka juga mahu menjadikan kedua-duanya sebagai tokoh dan pahlawan serta ulama Tapanuli. Tetapi yang jelas kedua-duanya digeruni Belanda dan masyarakat Batak.

Hamka sendiri menulis buku khusus bertajuk Tuanku Rao: Antara Fakta dan Khayal yang membahas kedua-dua buku itu. “Kira-kira 80 peratus isi kandungan karangan MOP itu tidak benar!” hujah Hamka, “Pengarangnya bodoh berlagak pintar!” tambahnya. Orang Minang menyamakan karangan itu sebagai Auta Gadang (Dusta Besar). Nawaitu MOP satu sahaja bagi menimbulkan keraguan, haru-biru dan menjulangkan kebesaran masyarakat Batak. Memanglah timbul rasa saling benci membenci, syak wasangka antara orang Rao-Minangkabau terhadap Batak dan vice versa.

Tuanku Rao lahir di Padang Metinggi, Rao pada 1790 Masehi. Ayahnya pedagang kerbau dari Sei Ronyah, Rao. Ibunya bernama Siti Aminah dari Air Bangis. Nama asli Tuanku Rao itu ialah Syamsu Taberi. Dia punya dua saudara perempuan. Yang seorang beranakkan Bagindo Suman yang menjadi Panglima Perang Tuanku Rao. Ibu Tuanku Rao punya saudara lelaki bernama Nakhoda Langkok yang kemudiannya bersubahat dengan Belanda mengkhianati Tuanku Rao anak saudaranya. Tuanku Rao mengahwini puteri Tuanku Yang Dipertuan Rao, Yang Dipertuan ini tidak menentang Belanda.

Kini, pemerintahan diambil alih oleh Tuanku Rao. Tuanku Rao terdidik di Rao dan kemudian belajar di Acheh. Sepulangnya ke Rao, dia diberi gelaran Yang Dipertuan Daulat Padang Nunang. Tuanku Rao kemudian, ada kemungkinan kata Hamka, mendalami ilmu pengajian Islamnya di Mekah.

Bagi Tuanku Rao seorang ulama itu sejajar dengan raja kalaupun tidak melebihinya. Tuanku Rao dengan ketumbukan Paderinya dapat merobohkan benteng Amerongen yang dikuasai Belanda pada awal 1830-an. Tentulah kekalahan ini mendatang reaksi yang keras dari Belanda.

Pengkhianatan lain datang daripada Nakhoda Langkap, orang Batak, Raja Gadombang Tapanuli, Tuanku Natal, Temenggung Keroredjo dan pasukan Sentot Alibasa. Sentot menyokong Tuanku Rao, apabila sedar Tuanku di pihak yang benar. Namun bapa saudara Tuanku Rao, Nakhoda Langkok sampai hati mengkhianati Tuanku Rao. Serangan balas pihak Belanda yang bertubi-tubi tak dapat ditahan-tahan lagi dengan hunjaman peluru dan gedoran bom siang dan malam. Tembakan itu menembus dada Tuanku Rao di Air Bangis.

Menurut Hamka, Tuanku Rao gugur syahid dalam pertempuran itu, dan Kubu Amerongen direbut kembali oleh Belanda. Jenazah Tuanku Rao dipunggah ke dalam kapal. Dan tidak lama berselang, dia dilongsorkan ke laut. Tuanku Rao, pejuang agung Islam, ulama yang tabah, tanpa berkompromi dengan Belanda meninggal pada 29 Januari 1833. Kematiannya, ditangisi oleh anak bangsanya. Dia berfisabililillah menghadapi Belanda. Jihadnya semerbak mewangi sampai kini di Nusantara Melayu Raya.