Politik adalah satu kaedah dalam memilih pemimpin dan hala tuju negara. Pun begitu, malangnya akhir-akhir ini pemain-pemain politik tidak lagi memikirkan tentang politik sihat, bahkan mengamalkan politik adu domba yang akhirnya akan membawa kepada kemusnahan negara.

Semua yang mengambil berat mengenai negara ini tahu kita kini di ambang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Setiap kali memasuki gerbang pilihan raya, maka pa­luan gendang perang dimainkan. Inilah silap utama ahli politik ki­ta, meng­anggap politik seperti berperang sedangkan ia tidak sebe­gitu. Dalam menuju negara maju kita harus mengamalkan politik bertamadun dan berma­ruah.

Untuk menjayakan konsep politik sihat dan bertamadun penulis ingin menggariskan lima garis panduan yang sepatutnya menjadi ikutan setiap mereka yang bergelar ahli politik ataupun kepada mereka yang ingin melibatkan diri dalam politik.

- Politik yang mengutamakan asas pembentukan negara

Ramai ahli politik pada hari ini gagal memahami akan asas pembentukan negara sendiri. Kegagalan ini menyebabkan wujud­nya beberapa propaganda yang berbentuk menghancurkan asas yang dibina sejak 60 tahun lalu. Asas ini jugalah yang menjadi kunci kepada kehidupan harmoni dan ­penyatuan dalam diam.

Konsep “quotequ pro” ataupun kontrak sosial yang membawa kepada kemerdekaan negara ini ja­ngan dipandang sinis oleh generasi selepas merdeka. Untuk membina sebuah negara bukan mudah, asas perlu kukuh, disokong oleh batu bata yang dibina dan ditambah setiap hari seupaya menjadi kota yang hebat.

Jangan ada antara kita yang lupa akan perkara ini dan dengan mudah merobohkan tunjang ini. Punahnya asas ini, punah jugalah negara. Jangan lupa pada sejarah, dan lihat apa yang sudah terjadi di Iraq, Syria, Yemen dan juga Libya apabila ingin merubah asas pembinaan negara sendiri yang membawa kepada kehancuran.

- Politik utama keselamatan ne­­­gara

Keselamatan dan kesejahte­raan perlu diutamakan dalam se­tiap tindak-tanduk ahli politik. Jangan kita merendah-rendahkan martabat negara di luar negara, apatah lagi menghina akan kelemahan negara kita, bak kata orang tua-tua, jangan membuka pekung di dada. Ini kerana de­ngan me­lakukan perkara sebegini, ia akan membuka ruang kepada negara luar melihat kelemahan kita dan pastinya menggunakan peluang ini untuk menindas ­ne–gara.

Semua rakyat, tidak kira berjawatan atau tidak, perlu mempunyai jati diri dan kesetiaan untuk mempertahankan maruah negara tanpa membenarkan campur ta­ngan pihak luar. Penulis merasakan perasaan kepartian yang ekstrem dan melampau hanya akan menyebabkan seseorang bertindak mengikut emosi sehingga hilang pemikiran rasional.

Maka ahli po­litik jangan bertindak melulu terutamanya di luar negara, pastikan rebutan dalam cawan tidak tertumpah keluar hingga semut datang menjengah.

- Politik Rakyat bukan Individu

Ketika ini ramai ahli politik lupa, jawatan yang disandang bu­kan untuk kepentingan indi­vidu itu sendiri, malah ia adalah satu amanah dan tanggungjawab kepada rakyat. Buat masa ini, ramai ahli politik me­nggunakan jawatan sedia ada untuk me­ngumpul harta, tidak salah untuk memperkayakan diri sendiri dengan syarat tidak melanggar undang-undang negara.

Namun yang lebih utama ba­gaimana menggunakan kedudukan demi maqasid syariah iaitu mengutamakan kelompok majoriti. Contohilah bekas Presiden Uruguay “Pepe” Jose Marjica, yang hidup penuh kesederhanaan dan menyumbang 90 peratus daripada gaji bulanan untuk pembangunan negara. Berapa ramai ahli politik Malaysia bersedia melakukan sebegini?

- Politik rasional bukan serangan peribadi

Ramai di antara politikus dewasa ini lebih gemar untuk menyerang peribadi politikus yang lain semata-mata untuk menampakkan dirinya lebih baik. Satu kesilapan besar, kerana sekarang zaman informasi di hujung jari, segala makluman boleh diperoleh dengan mudah. Maka adalah lebih baik mengamalkan po­litik ­rasional iaitu menentang da­sar dengan pemberian dasar yang lebih baik. Pemberian bukti-bukti empirikal terhadap cadangan-ca­dangan pe­nambahbaikan akan lebih dihormati oleh pengundi daripada mengaibkan mana-mana kesilapan individu-individu lain.

- Politik tabayyun bukan ilustrasi

Ahli politik harus mengamalkan sikap mencari kebenaran (tabayyun) daripada mempercayai ilustrasi yang dicipta lawan. Zaman menyebar fitnah sudah berlalu, ahli politik yang bertamadun harus tidak cepat percaya kepada sebarang berita yang di­sebarkan, malah ahli politik yang beretika akan menyiasat dahulu akan kesahihan setiap berita yang didengari. Mereka juga tidak cepat dipengaruhi dengan berita-berita sebegini apatah lagi menjadi penyebar kepada fitnah yang ­akhirnya akan memakan diri sendiri.

Ahli politik di negara ini perlu berubah menjadi politikus yang bertamadun dan pastinya de­ngan melakukan tersebut akan menghasilkan politik yang sihat. Harus diingat, ahli politik dan kontroversi yang dicipta mereka akan datang dan pergi, tetapi yang kekal hanya nilai dan sifat baik yang dibawa. Maka diharapkan suatu hari nanti jasa yang ditinggalkan oleh politikus yang menjadi kenangan bukan sifat tidak bertamadun mereka yang diingati. Amalkan politik sihat demi kemajuan negara.

DR. AHMAD ZAHARUDDIN SANI AHMAD SABRI ialah Pengarah IPDM, Universiti Utara Malaysia.