Beliau boleh diklasifikasikan sebagai tokoh pendidik tetapi dalam konteks perjuangan ini saya melihatnya sebagai ahli kumpulan ikhtisas.

Dalam ruangan Cetus ini misalnya, beliau sering menyumbangkan artikel untuk terus menggerakkan usaha mengajak rakyat mendaulatkan bahasa Melayu.

Alangkah bertuahnya kita jika ramai cendekiawan seperti beliau ada bersama kita dalam perjuangan ini. Alangkah baiknya jika dapat diangkat beliau menjadi ikon atau duta perjuangan ini.

Merenung kepada isu kedudukan bahasa Melayu yang tak sudah-sudah bergelumang masalah pengiktirafan, saya dapat merasakan ia ibarat medan perjuangan sekumpulan kecil pejuang, termasuk beberapa kerat golongan pendidik.

Majoriti mereka orang Melayu, walhal bahasa Me­layu bukan untuk orang Melayu sahaja. Tidak banyak pihak ambil peduli perjuangan mereka.

Ini barangkali antara punca perjuangan ini sukar diangkat menjadi perjuangan nasional yang inklusif. Barangkali pengamatan saya silap tetapi itulah yang saya amati.

Jika ini hakikatnya dan berterusan begitu, perjuangan ini tak akan punyai stamina dan kekuatan untuk mempengaruhi kerajaan termasuk dalam usa­ha menamatkan pelaksanaan program dwibahasa (DLP) yang ditentang itu. Ia akan berkesudahan menjadi satu perjuangan yang mengecewakan dan berakhir dengan tu­ding-menuding antara satu sama lain, siapa yang patut dipersalahkan.

Bukan persaingan pengajaran di antara subjek Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris isunya. Bukan juga penggiat bahasa Melayu berseteru de­ngan penggiat bahasa Inggeris, sehingga timbul konflik ini.

Seteru mereka berdua ialah penggubal dan pelaksana dasar pendidikan yang ketagih melakukan eksperimen terhadap kaedah pembelajaran kedua-dua bahasa itu.

Pada hemat saya, para pejuang bahasa, terutamanya bahasa Melayu, wajar membentuk pakatan strategik dengan semua pemegang taruh, untuk memahami dilema yang kita semua hadapi ini.

Pilih kalangan mereka ini duta yang mampu bersama-sama penggiat yang ada, yang hanya segelintir ini, untuk sama-sama mengangkat martabat bahasa Melayu.

Mari kita sama-sama atur langkah yang lebih strategik ke arah itu. Umpamanya, para Sasterawan Negara bersedia dengan megah, mengangkat diri mereka sebagai Duta Bahasa Melayu.

Tidak perlu menunggu kerajaan melakukan itu untuk mereka. Mereka terajui satu gerakan nasional, menjelajah ke seluruh negara, melawat semua sekolah dan institusi pendidikan, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk bank serta institusi bisnes, keselamatan dan pertahanan, malah kedutaan Malaysia di luar negara, mempromosikan keindahan bahasa dan budaya Melayu, dengan pendekatan diplomatik yang menarik.

Libatkan sama ikon atau Duta Bahasa Melayu dalam kalangan golongan ikhtisas, kumpulan lain atau individu berpengaruh.

Jadikan mereka penyampai ucaptama di siri wacana atau randau memperkenalkan banyak aspek yang menarik mengenai bahasa Melayu. Anjurkan siri wacana atau randau ini secara berkala di seluruh negara, menjadi satu gerakan nasional libatkan semua, bukan sekadar dalam lingkungan institusi pendidikan sahaja.

Para penggiat yang ada ini wajib berani mele­barkan sayap dan pengaruh mereka, mengajak sama para pemegang taruh dari semua lapisan masyarakat, bangsa dan keturunan, termasuk institusi politik, malah institusi raja-raja, untuk bersama mereka.

Timbulkan satu kebanggaan dalam kalangan mereka untuk terlibat sama dalam gerakan nasional ini.

Saya percaya ramai belum dapat merasakan pe­ranan mereka adalah sama pentingnya dalam perjuangan ini.

Mungkin mereka masih beranggapan perjuangan ini hanyalah milik kalangan penggiat bahasa Melayu yang acap kali dimonopoli orang Melayu sahaja. Kita tidak boleh berjuang berasingan atau bersendirian dalam perjuangan ini. Ini hakikat yang wajib kita terima.

Tidak salah bagi kedua-dua kumpulan penggiat bergabung dan bergerak seiring. Bahasa Melayu dimartabatkan, bahasa Inggeris waima bahasa-bahasa lain yang ada kepentingannya, dikuasai dan diperkukuhkan. Tidak perlu berseteru kerana misinya sama iaitu mahukan para pelajar kita memperkasakan bahasa Melayu dan menguasai bahasa Inggeris.

Yang indah itu bahasa, yang punah itu pelaksana­annya. Yang bijaksana itu berfikir sebelum bertindak, yang gopoh itu lesu berfikir membabi buta dalam tindakan.

PROF. DATUK DR. HASAN MAD ialah Setiausaha Agung Maj­lis Perundingan Me­layu (MPM).