Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

APABILA kita memperjuangkan bahasa Melayu, kita sebenarnya berjuang pada tahap mempertahankan satu sistem. Pada tahap alat, kita boleh menggunakan sebarang bahasa, misalnya bahasa dialek, bahasa rojak, malah bahasa tanpa kata sekali pun. Bahasa tanpa kata ialah lambang-lambang yang ditunjukkan dengan tangan atau anggota lain untuk maksud yang mudah. Pada tahap sistem, kita perlu memberikan perhatian pada setiap segi bahasa.

Penulis cenderung mengatakan bahawa bahasa Melayu akan dihargai jika ditunjukkan segi-segi akademiknya, iaitu dengan mengemukakan sistemnya. Tentulah tidak besar jumlah orang yang bersetuju jika segi akademik dibawa ke tengah, kerana selalunya bicara akademik adalah membosankan. Namun tidak dapat dinafikan bahawa bicara akademik ialah bicara tertinggi untuk menjelaskan setiap cabang kehidupan.

Bahasa Melayu berada pada tahap tinggi kerana sistemnya yang kemas. Sistem ini telah dijelaskan dengan baik oleh Pendeta Zaaba membawa kepada Asraf Wahab, Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim, Profesor Dr. Asmah Omar, Datuk Dr. Awang Sariyan dan beberapa tokoh bahasa yang lain. Penulis hanya akan menyentuh satu aspek tatabahasa yang melukiskan kekukuhan sistem bahasa Melayu. Aspek tersebut ialah kata kerja.

Kata kerja digunakan dalam pertuturan dan penulisan bahasa Melayu bukan sekadar untuk membawa makna, malah untuk mematuhi peraturan bahasa. Hal yang pertama, iaitu hal pemaknaan mudah difahami, namun hal yang kedua, iaitu hal mematuhi peraturan agak rumit. Ini ialah hal struktur.

Dalam bahasa Melayu, jika orang berbincang misalnya, makna yang dibawa oleh kata “berbincang” itu umum, tetapi jika orang ‘membincangkan sesuatu’, maka ‘sesuatu’ itu wajib dinyatakan. Bagi menjelaskan hal ini, diturunkan contoh:

a. Hashim dan Hassan sedang berbincang.

b. Hashim dan Hassan sedang membincangkan cadang­an ketua jabatan.

Perkataan ‘berbincang’ ialah kata kerja tak transitif (dulu disebut perbuatan tak melampau). Kata kerja tak transitif tidak memerlukan objek, jadi tidak wajib me­nyatakan perkara yang dibincangkan. Perkataan ‘membincangkan’ sebagai kata kerja transitif memerlukan objek, jadi ayat itu hendaklah diteruskan dengan menyatakan perkara yang dibincangkan. Penulis menurunkan contoh di atas kerana dalam penggunaan di mana-mana, kerap kita temukan kesalahan.

Orang selalu menyebutkan kalimat seperti ‘Hashim dan Hassan sedang berbincang hal itu.’ Kalimat itu memuatkan kesalahan tatabahasa. Frasa ‘hal itu’ tidak boleh diletakkan di situ tanpa perkataan ‘tentang’ sebagai kata hubung. Jadi ayat yang betul ialah:

“Hashim dan Hassan sedang berbincang tentang hal itu.”

Daripada contoh di atas, dapatlah kita simpulkan bahawa kata kerja tak transitif boleh mengakhirkan ayat, dan jika mahu disambung, maka kata hubung diperlukan.

Kata kerja ‘membincangkan’ juga kerap disalahgunakan. Ayat ini salah:

“Hashim dan Hassan sedang membincangkan tentang masalah besar itu.”

Apabila kata kerja transitif digunakan, maka kata hubung ‘tentang’ itu tidak boleh berada di situ. Ayat yang betul ialah:

“Hashim dan Hassan sedang membincangkan masalah besar itu.”

Segi-segi ini perlu diperhatikan oleh setiap pencinta bahasa Melayu.

Penulis membawa perkara ini kerana penulis mendapati terlalu kerap berlaku pengabaian segi-segi yang sebegini. Pengabaian ini terjadi kerana orang kita tidak gemar mempelajari selok-belok bahasa sendiri. Hal ini telah di­sedari oleh Abdullah Abdul Kadir Munshi dalam abad yang ke-19 lagi. Kenyataan sarkastik oleh Abdullah terdapat di dalam bukunya Hikayat Abdullah, jilid 1.

Apabila kita memikirkan segi-segi tatabahasa, kita akan menemukan kehebatan sesuatu bahasa. Pelajar bahasa Melayu janganlah berwajah pucat atau me­ngantuk jika segi-segi tatabahasa ditekankan oleh pe­ngajar. Ini tidaklah sangat berkaitan dengan kaedah pengajaran, kerana terdapat sejumlah pelajar yang amat menggemari tatabahasa. kita perlu menyedarkan setiap pengguna bahasa Melayu, bahawa tatabahasa adalah penting.

Kata kerja transitif dan tak transitif perlu difahami ke­rana kedua-duanya akan menentukan ada atau tidaknya bentuk pasif bagi masing-masingnya. Kata kerja ‘membincangkan’ akan menerbitkan bentuk pasif iaitu ‘dibincangkan’, manakala kata kerja ‘berbincang’ tidak demikian. Oleh itu, ayat “Hashim dan Hassan sedang membincangkan masalah besar itu” dapat diucapkan semula menjadi ayat pasif: “Masalah besar itu sedang dibincangkan oleh Hashim dan Hassan.” Manakala ayat yang menggunakan kata kerja “berbincang” tidak dapat diucapkan semula dalam bentuk pasif.

Penulis mempunyai pandangan bahawa aspek-aspek tatabahasa bahasa Melayu hendaklah diajarkan secara penuh disiplin. Segi-segi lain, seperti jenis adjektif, jenis kata sendi, jenis ayat dan peraturan yang membenarkan dan menghalang sesuatu adalah sama pentingnya. Mi­salnya, penggunaan ‘di’ dan ‘oleh’ dalam ayat “Buku itu dibeli oleh saya semalam” adalah dilarang. Jarang sekali orang menyedari, bahawa ayat pasif untuk maksud itu mesti berbunyi, “Buku itu saya beli semalam.” Penentuan ini pada satu masa berada dalam keadaan krisis, iaitu polemik sama ada boleh diizinkan atau tidak. Namun kini peraturan aneksi persona itu sudah kuat, dan sudah ditegaskan dalam pengajaran bahasa Melayu di sekolah.

 

PROFESOR RAHMAN SHAARI ialah tokoh pendidikan dan sastera.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain