“Ada telefon...” Jantung saya berdegup. Saya masuk ke bilik Puan Azizah.

“Hei Kemala!” kuat suara itu di hujung sana. “Kau tak mahukah surat aku ini?” tambah bergema suara garau itu, penuh kesal.

“Mahu Pak Samad!”

“Datang ambil!” suaranya amat bertenaga.

Saya menanti giliran saya dipanggil. Saya jelaskan kepada Pak Samad Ismail yang saya demam, dalam barisan calon yang akan dipanggil menghadap barisan Ahli Lembaga. Saya minta jasa baiknya agar sahabat saya Hadzrami A.R membawa surat sokongan itu ke Dewan Bahasa dan Pustaka .

“Hadzrami!” saya dengar teriakan Pak Samad, “Kau hantar surat ni bagi pada Kemala!”

Hati saya berdegup-degap. Sepuluh minit kemudian Hadzrami muncul di hadapan saya menghulurkan surat keramat itu. Dia tersengih sambil menadah tangan. Saya memeluknya dengan berbisik mengucapkan terima kasih.

Saya tidak lupakan peristiwa itu. Minggu lalu saya menghadap Pak Samad di kantornya di Berita Harian, Jalan Riong. Keris Mas tahu saya ada memohon jawatan Penyunting.

“Elok kau minta surat sokongan Samad Ismail!” kata Keris. Maklumlah, secara tak rasmi Pak Samad amat berpengaruh di DBP. Ujarannya didengar Tuan Syed Nasir Ismail. Pada awalnya saya memang tak menduga orang besar surat khabar ini mahu memberikan surat sokongan itu. Dengan kesibukannya yang luar biasa sebagai Ketua Pengarang akhbar dan penglibatannya dalam kerja-kerja penulisan dan sosial dan politik, adakah masanya melayan permohonan saya? Saya pernah menggoreskan hatinya dengan Badaruddin H.O, Firdaus Abdullah terhadap layanan editor akhbar mingguan yang setengah hati terhadap karya kami. Kami minta keadilan waktu itu di tengah-tengah ramai para sasterawan dalam seminar bahasa dan sastera di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1962.

Aduhai, reaksi Pak Samad Ismail bagai seekor macan yang terluka. Dia mengkritik dahsyat kami penyair muda yang mula berkokok. Baru setahun jagung, sudah tidak sedarkan diri. Wah, habislah masa depan kami sebagai sasterawan, nama kami akan masuk dalam senarai hitam Pak Samad, tak merasalah honorarium RM20 dan RM30 untuk sebuah sajak dan makalah. Tetapi itu dugaan tak berasas, hatinya yang keras itu dilembutkan oleh Usman Awang dan A. Samad Said yang nampak resah gelisah penulis muda. Dalam beberapa bulan saja A. Samad Said mengumpulkan karya enam penyair muda Adi Rumi, A. Wahab Ali, Badaruddin H.O., Firdaus Abdullah, Kemala dan Yahya M.S dalam antologi Laungan. A. Samad Said menulis pengantarnya dan diterbitkan oleh Federal Publications yang juga di bawah sayap A. Samad Ismail. Dewan Masyarakat dan majalah Dewan Bahasa serta Utusan Zaman, Mingguan Malaysia dan Mastika turut memberikan perhatian yang rapi terhadap karya generasi baharu ini.

Waktu itu saya mengajar di Sekolah Kebangsaan Tiram Burok Tanjung Karang. Sawah Sempadan jelapang padi negeri Selangor di samping mengajar saya mengasah bakat dalam persajakan dan menulis makalah. Pada suatu hari saya menerima surat daripada Pengarang Berita Harian mahu saya menyorot masalah petani dengan pengurusan kilang padi di Tanjung Karang. Mereka mencium ada skandal salah gunakan kuasa berlaku di situ. Dengan susah payah akhirnya dapatlah saya bertemu dengan pengurus kilang padi yang dengan gamam menjawab persoalan itu. Saya juga lakukan interviu dengan ramai petani. Pada dua minggu berikutnya siaplah enam lembar rencana saya itu. Tapi yang disiarkan cuma tiga para sahaja, tetapi di halaman hadapan. Rencana saya tentang pengemis yang kaya raya dengan sedekah orang ramai di jambatan Mounbatten secara teliti dibedah oleh Pak Samad dalam bimbingan menulis features. Saya mengambil matan daripada kuliahnya, menulis features harus padat dan elakkan bumbu bahasa. “Aku tahu kau penyajak macam Tongkat dan Samad Said, tapi kau nak tulis untuk surat khabar, padat dan tepat, tinggalkan bahasa berbunga dan berbelit!”

Saya juga belajar tentang minat Pak Samad menulis novel, dia prolifik kata Samad Said. Tapi dia lebih jurnalis, tak bermetafora jadi lebih sketsa dan hilang teka-teki. Banyak novel yang ditulisnya seperti Patah Sayap Terbang Juga (1966), Mastura (1967), Tembok Tidak tinggi (1967), Kail Panjang Sejengkal (1967). Cerpennya terbit dalam Mekar dan Segar (1959) dan Karangan Bunga dari Selatan (1963). Dia banyak belajar daripada kelincahan George Semanon, mungkin justeru kerana itu dia lincah menulis, tapi Usman Awang dan Samad Said membaca dan mengedit dahulu manuskripnya yang ”ngaur” itu. Banyak faedah yang saya timba waktu sempat bersama dengan Pak Samad Ismail dan Samad Said makan nasi padang di Bukit Bintang.

Naratif Abdul Samad Ismail adalah naratif seorang genius Melayu. Waktu berumur 20 tahun dia mengambil alih sebagai Pengarang Berita Malai. Dia menjadi tumpuan pengarang dan tokoh politik Malaya dan Sumatera. Dia dididik oleh Tokoh Wartawan Haji Abdul Rahim Kajai, gaya dan sentuhannya memang salinan daripada gurunya itu. Ratusan wartawan dan penulis didikan A. Samad Ismail maklum suara kasarnya, bukan apa-apa selain mahu anak didiknya lebih bertanggungjawab. Mereka ada misi untuk alif ba ta bukan sekadar mengejar byline dan skup sahaja. Pada 1946 Samad Ismail menjadi Penolong Pengarah Utusan Melayu dan wakil Utusan Melayu di Jakarta. Waktu di Indonesia dia akrab dengan wartawan Adam Malik dan Rosihan Anwar. A. Samad Ismail pernah ditangkap selepas peristiwa Natrah (1950), dituduh menghasut. Selepas menerima Anugerah Pejuang Sastera 1976 dia dipenjara dengan tuduhan bersimpati dengan gerakan komunis. Selepas menjadi Pengarang Berita Harian (1959), Pengarang Urusan NSTP (1974) dan puncaknya sebagai Penasihat Jabatan Pengarang NSTP. Dia duduk dalam panel Hadiah Karya Sastera dan juga sebagai penggagas penubuhan Pena dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sebagai sasterawan dia pernah menggunakan nama pena Orang Sekijang dan Asmal. “Ingin Jadi Pujangga” salah sebuah cerpennya yang menarik.

Genius Melayu ini menerima gelar Kehormat Doktor Persuratan UKM (1987) dan seterusnya Institut Akhbar Malaysia menobatkan dia sebagai Tokoh Wartawan Negara. Pada 1974 wartawan-sasterawan-politikus yang ikut mengasaskan parti PAP ini menerima Anugerah Magsaysay dari Filipina. Dia menerima gelar Tan Sri daripada kerajaan Malaysia, dan sempat menjadi karyawan Tamu di UKM (1991-1993). Saya sempat menziarahi sahabat dan guru saya ini di Hospital Pantai seminggu sebelum dia meninggal pada 4 September 2008 dalam usia 82 tahun kerana menghidap sakit paru-paru. Naratif genius Melayu Tan Sri A Samad Ismail akan abadi dalam lipatan sejarah negara tercinta kita Malaysia.