Dikenali sebagai Moribayu dalam kalangan penggemar seni lukis, Mohd. Riduan Basarudin Yusuf, 34 tidak menyangka bermula dengan hobi, hasil karyanya berupaya menjana pendapatan.

Berkongsi langkah awal kerjayanya, Mohd. Riduan mula berjinak-jinak dalam bidang ini sejak 10 tahun lalu. Bermula dengan satu lakaran ringkas, dia tergerak hati untuk mengembangkan hobinya.

Mengakui dirinya bukanlah pelukis mahir ketika itu, dia memperbaiki kemahirannya dengan memperbanyakkan hasil karya dan belajar daripada buku. Baginya, untuk menjadi pelukis, faktor minat amat penting dalam usaha mengembangkan bakat yang ada.

“Saya selalu memberi motivasi kepada orang lain supaya tidak berputus asa. 10 tahun lalu, hidup saya boleh dikatakan susah. Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya menyambung pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM). Selepas setahun di UiTM, saya membuat keputusan berhenti belajar.

“Ramai yang kata keputusan saya tidak bijak dan masa depan saya akan gelap. Awalnya, saya sedikit goyah tetapi saya tidak mahu berputus asa. Saya bukan berasal daripada keluarga yang kaya dan saya dididik oleh ibu bapa untuk sentiasa berusaha dan tidak mengalah. Selepas berhenti daripada UiTM, saya bertukar-tukar kerja. Saya penah kerja sebagai pelayan kedai makan, juruwang, jurujual dan macam-macam lagi . Saya juga bersyukur kerana keluarga dan masih ada rakan-rakan yang memberi sokongan kepada saya,” katanya.

Pada masa yang sama, Mohd. Riduan mengisi masa lapangnya dengan melukis lakaran menggunakan pensel. Salah seorang rakannya melihat bakatnya dan menawarkan pekerjaan guru seni di tadika milik rakannya itu. Menyedari kecenderungan dirinya dalam bidang seni kreatif, Mohd. Riduan menerima pelawaaan.

Jika berkelapangan dia akan melukis dan memuat naik dalam media sosialnya. Daripada hobi, hasil karyanya menjadi komersial dan berupaya menjana pendapatan.

Siapa sangka hasil lukisannya yang santai berjaya mencuri tumpuan rakan-rakannya dan pengguna media sosial. Ada yang menghubunginya untuk membuat tempahan dan menjadikan lukisan tersebut hiasan dinding di kediaman mereka. Lebih membanggakan, dia mendapat permintaan untuk melukis ilustrasi muka depan buku.

Hasil pendapatan daripada karyanya digunakan untuk melancong ke luar negara. Boleh dikatakan setiap tahun dia akan bercuti keluar negara dan dalam masa yang sama mencari ilham baharu. Mohd. Riduan juga minat dengan bidang fotografi dan sering merakam gambar setiap kali melancong. Antara tumpuan utamanya ialah budaya negara yang dilawati seperti bangunan dan arca.

Katanya, melukis menghilangkan kekusutan fikiran, menjadi terapi sepanjang melengkapkannya sebagai karya sempurna.

Tugasan menghasilkan karya seni ini membina keyakinan, selain memerlukan komitmen memandangkan setiap karya menuntut ketelitian, sentuhan tersendiri supaya tampak hidup dan mempunyai daya tarikan.

Tidak hanya tertumpu pada satu teknik, Mohd. Riduan mempelbagai hasil karyanya seperti lukisan cat, ilustrasi, mural dan sebagainya. Katanya, lukisan ini terlalu subjektif dan terpulang kepada penilaian seseorang.

“Saya pernah melukis sotong dan rakan saya menegur, laku tak lukisan ini? Kebetulan, saya menyertai satu pameran jualan dan tidak sangka ada yang beli lukisan sotong itu.

“Jualan ini menyuntik semangat untuk berusaha kerana memberikan pulangan berbaloi,” katanya.