Bagaimana hal ini boleh terjadi sedangkan negara telah memperuntukkan tempat yang tinggi sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan de­ngan kedudukan yang terpateri kemas dan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 152. Selain itu, ia diperkukuhkan melalui Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang telah memperuntukkan bahawa bahasa Melayu hendaklah digunakan sebagai perantaraan dalam semua urusan rasmi dan pentadbiran negara.

Malangnya, pada hari ini roh dan semangat yang dibawa oleh Perkara 152 yang mendaulatkan Bahasa Melayu Kebangsaan tidak dihayati sepenuhnya dan seolah-olah sengaja dilupakan oleh rakyat. Kita perlu terima kenyataan walaupun sudah lama merdeka namun masih terdapat rakyat yang tidak fasih berbahasa Melayu.

Kenapa perkara ini masih berlaku sedangkan kuasa di ta­ngan kita. Pada hari ini, masih ada yang malu untuk bercakap dalam bahasa Melayu malah ada yang takut untuk berbahasa Melayu kalau-kalau akan dianggap orang kampung yang tidak tahu berbahasa Inggeris. Sesungguhnya kita tidak nafikan sama sekali kepentingan bahasa Inggeris namun tidak wajar merendahkan bahasa sendiri.

Adalah kejadian biasa yang dilihat setiap hari melihat pemimpin dan mereka yang berjawatan tinggi berbahasa Inggeris bila diwawancara di televisyen khasnya dalam siaran berita. Barangkali kita hanya melihat dan mendengar bahasa Melayu dipertuturkan di televisyen bila ada wawancara dengan mangsa banjir, mangsa kebakaran, rak­yat miskin dan sebagainya.

Keadaan bahasa yang me­nyayat hati ini telah mencetuskan banyak sajak dari dahulu hingga sekarang, Antara yang terpenting ialah sajak-sajak yang terkumpul dalam antologi Keranda 152, 1967 yang diiringi perarakan protes oleh pejuang bahasa yang bermula dari Dewan Bahasa dan Pustaka. Antara pemimpin yang terpenting ialah Usman Awang. Dalam kumpulan puisi perseorangan saya, Salasilah (DBP 2005) sajak-sajak yang khas diruntun oleh isu bahasa ialah Seorang Penyair Selepas 39 Tahun Merdeka, Ana Maria dan, Seorang Tua Bernama Bahasa.

Terbaharu ialah antologi Cakar Nanar yang diusahakan oleh Sasterawan Negara Datuk Ahmad Khamal Abdullah (Kemala) yang menghimpunkan suara protes penyair-penyair menentang PPSMI dan DLP.

Seorang Tua Bernama Bahasa

Di sudut sebuah kota ternama

Di belakang sebuah menara

yang terkenal di dunia

ditinggalkan sedikit kawasan

kawasan belas ihsan.

Seluruh kota telah diberitahu

tentang wujudnya kawasan itu

bukti amat nyata

keprihatinan pemilik kota

menyediakan kawasan itu

khas untuk warga tua

yang tidak dipedulikan 
anak cucu.

Antara yang terlantar di sana

adalah seorang tua 
bernama Bahasa

Dalam sajak ini, bahasa dilihat sebagai orang tua yang tidak mahu dijaga, lalu dihantar oleh anak-anaknya ke rumah orang tua. Rumah itu berada di belakang sebuah menara yang terkenal di dunia, menunjukkan orang tua bernama bahasa itu berada di sebuah negara yang mementingkan bangunan-bangunan tinggi sebagai simbol kemajuan.

Kawasan yang menempatkan orang tua itu berada di belakang menara seolah-olah jelek dan perlu disembunyikan. Walau bagaimanapun pemerintah yang suka bermuka-muka dan menunjuk-nunjuk mencanangkan kebaikan mereka menyedia­kan tempat sedemikian semata-mata untuk mengelabui mata penduduk kota.

Maka duduklah orang tua itu di situ. Dengan sifatnya yang memiliki kekayaan perkataan dan pengalaman, dapatlah dia bercerita kepada kawan-kawan lain tentang kehidupannya pada masa muda dahulu. Mengikut orang tua yang bernama Bahasa itu dia punya ramai anak cucu di seluruh alam Melayu, Pada masa dulu dia memainkan peranan yang penting. Dialah yang memberi mereka ilmu dan menyatukan mereka sehingga menjadi bangsa yang gagah. Malangnya, anak cucu yang telah membesar menyangka diri mereka telah terlalu besar dan tidak memerlukannya lagi. Inilah sifat anak-anak yang dikesali. Mereka tidak seperti bangsa-bangsa lain yang menghargai bahasa mereka.

Apakah nasib dan kesudahannya bangsa yang tidak menghargai bahasa mereka. Segalanya diperlihatkan melalui mimpi orang tua bernama Bahasa itu. Dia bermimpi kampung halamannya musnah dipukul ribut dan anak cucunya hanyut dibawa arus. Dia kasihan melihat mereka. Ketika mereka cuba membuka mulut untuk meminta tolong, tiada suara yang keluar. Demikianlah dahsyatnya keadaan bangsa yang tidak menjaga bahasa, mereka menjadi seperti tunggul kayu yang tidak berupaya untuk menentukan hala tuju kehidupan mereka sendiri. Mereka seolah-olah dikuasai oleh orang lain . Bangsa yang tidak menjaga bahasa tidak dapat mengeluarkan pendapat seolah-olah telah kehilangan suara. Kehilangan sua­ra bermakna kehilangan kuasa.

Aku melihat anak cucuku

Terapung dan hanyut

Mereka hanyut seperti kayu

Yang tak kenal hujung pangkal

Mereka hanyut seperti kayu

Yang tak tahu usul asal

Dibawa arus tak terkawal.

Aku sedih melihat mereka 
cuba menjerit

Meminta tolong tetapi 
apabila mulut dibuka

Mereka telah kehilangan suara.

Mengapa hal ini terjadi sedangkan kita memegang tampuk kuasa. Sepatutnya bahasa dan bangsa dipelihara agar terus perkasa. Inilah yang ingin saya sampaikan melalui puisi Pantun Rintihan Bahasa (Ahmad Kamal Abdullah, Cakar Nanar, 2016).

Pohon bahasa rimbunan segar

Mengapa dibiar kering terkapar

Tuan berdiri umpama pagar

Jangan sanggup meracun akar

Dengan pisau di tangan kanan

Dengan mentimun di tangan kiri

Gila apakah tuan gerangan

Maka dihiris lidah sendiri?

Sekali berjanji sekali mungkir

Bagai tebu tumbuh di bibir

Bangsa disisih bahasa dipinggir

Itulah jalan kuasa berakhir

DATUK DR. ZURINAH HASSAN ialah Sasterawan Negara.