Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

SAYA menulis mengenai syarat pelantikan kontrak pegawai perubatan yang memberi kelonggaran kepada kelulusan Bahasa Melayu. Sudah banyak pendapat kita dengar dalam akhbar dan dalam cakap-cakap harian di kedai kopi, pejabat dan di merata-rata mengenai perkara ini. Saya dengar semuanya tidak menyokong mengenai kelonggaran syarat ini.

Saya bukanlah seorang pe­juang bahasa Melayu, tetapi saya adalah seorang yang patuh kepada Perlembagaan negara ini. Kita sendiri yang membuat Perlembagaan negara, maka kita perlulah mematuhi undang-undang yang dibuat itu. Sekiranya tidak, maka negara mungkin akan menjadi kacau.

Mula-mula kita longgarkan Per­lembagaan itu sedikit, lama-lama ada kemungkinannya kelonggaran akan menjadi bukit, dan akhirnya ada kemungkinan akan terhapus Perlembagaan itu. Dalam hal ini saya teringat kepada peribahasa Melayu yang menyebut “seperti Belanda meminta tanah”.

Pada mulanya Belanda hanya meminta tanah sekangkang kera sahaja, tetapi lama kelamaan ta­nah itu membesar dan menjadi hak milik Belanda! Negara ini mempunyai banyak peribahasa seperti itu antaranya ialah “Makin murah makin menawar”, “Diberi duduk di serambi, hendak bermaharajalela di tengah rumah”. Orang Putih pun ada peribahasa seperti itu, “Give a man an inch, and he will take a mile”.

Perumpamaan seperti ini me­nyatakan betapa bahayanya kalau kita tidak mematuhi Perlembagaan. Oleh yang demikian, sesuatu Perlembagaan tidak boleh diambil mudah dan dilonggarkan tanpa persetujuan Kabinet kita.

Apapun, saya sentiasa me­megang kepada apa yang termaktub di dalam Perlembagaan. Semua rakyat mesti juga mematuhi Perlembagaan kerana itulah sahaja yang kita ada untuk berpegang. Sekiranya sebarang pengecualian hendak diberikan kepada Perlembagaan sedia ada, maka mestilah ia dirujuk kepada Kabinet untuk dibahaskan dan dibuat keputusan.

Pihak selain daripada itu tidak boleh sewenang-wenangnya me­ngambil keputusan sendiri. Dalam hal ini kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi amatlah tepat sekali, kerana beliau mahukan supaya perkara ini didengari di Kabinet.

Saya berharap penerangan yang akan diberikan oleh pihak-pihak yang berwajib nanti di Kabinet, dapat didengari dengan waras dan tidak beremosi. Saya dan rakan-rakan mengucapkan syukur dan ribuan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri kerana keprihatinan beliau yang segera untuk menyelesaikan masalah yang timbul.

Apapun keputusan yang telah dibuat sebelum ini, boleh saja ditarik balik sekiranya akal dan fikiran membenarkannya. Saya yakin Yang Berhormat Ahli-ahli Kabinet yang bijaksana akan dapat membuat keputusan yang bijaksana juga, kerana Perlembagaan ini tertubuh atas hasil pemikiran dan kebijaksanaan mereka di Parlimen juga.

Saya difahamkan bahawa pelajar-pelajar perubatan Malaysia yang belajar di USM-KLE di Belgaum (bukan Belgium) Karnataka India diwajibkan untuk lulus bahasa lokal Karnataka sebelum dibenarkan untuk menjalankan kursus klinikal di hospital di situ.

Pelajar-pelajar kita ini telah merayu untuk diberi kelonggaran dalam hal bahasa Karnataka ini tetapi tidak diluluskan. Antara sebabnya kerana penduduk setempat tidak ramai memahami bahasa Inggeris, dan hospital tidak mahu jururawat untuk menterjemahkan kepada pesakit apa yang disebut oleh para doktor. Begitulah juga pelajar-pelajar kita di Rusia terpaksa belajar bahasa Rusia.

Yang belajar di Belgium (bukan Belgaum) mesti belajar Fle­mish. Cubalah pergi ke England, Amerika, Australia, New Zealand dan sebagainya dan lihat sama ada doktor yang tidak lulus ujian yang diperlukan mereka dalam Bahasa Inggeris di­terima masuk untuk bekerja atau untuk latihan di negara-negara itu.

Profesi Peguam dalam negara ini juga mewajibkan lulus Bahasa Melayu di peringkat SPM sebelum boleh dapat ditauliahkan sebagai Peguamcara dan Peguambela, tidak kira di mana mereka mempunyai Ijazah Undang-Undang.

Oleh yang demikian jugalah maka doktor perubatan muda kita mesti lulus dalam Bahasa Melayu. Ini adalah negara mereka, dan mereka mesti menguasai bahasa Melayu. Lagipun bukankah perkara ini sudah termaktub di dalam Perlembagaan kita.

Malaysia mempunyai ramai doktor muda yang sudah mempunyai Ijazah Perubatan, sehingga kerajaan tidak dapat menyerap kesemuanya untuk diberi latihan wajib dengan segera. Maka saya sarankan supaya kerajaan memilih doktor perubatan yang telah mempunyai kelulusan dalam Bahasa Melayu.

Mereka ini telah bersusah payah mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu ini (tidak mengira bangsa apapun mereka), ­sedangkan ada di antara mereka yang tidak berbuat apa-apa untuk melayakkan diri memenuhi syarat ini.

Tidak kiralah sama ada mereka belajar di luar negeri atau mereka mendapatkan kelulusan daripada mana-mana tempat sekalipun. Apakah perlu kita mengambil warganegara asing tanpa kelulusan Bahasa Melayu kalau kita sudah mempunyai bilangan doktor warganegara yang cukup di dalam negara kita sendiri?

Semalam saya menaiki pesawat dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur, dan menyaksikan pramugari membuat demonstrasi bagaimana untuk mengambil tindakan sekiranya berlaku kecemasan, seperti memakai jaket keselamatan dan sebagainya. Tetapi keterangan mengenainya diberikan di dalam bahasa Ing­geris.

Seorang makcik duduk di se­belah saya bertanya mengenainya kerana dia tidak memahami bahasa Inggeris. Saya tidak nampak seorang pun berbangsa asing di dalam pesawat itu. Kalaupun ada, bahasa Melayu wajiblah digunakan juga.

Saya sudah sekali dulu menulis tentang hal ini, tetapi saya tidak nampak kesannya. Rupanya sesetengah rakyat Malaysia yang berwajib tidak peduli tentang Perlembagaan negara kita. Janganlah nanti padi yang ditanam, tetapi rumput yang tumbuh. Janganlah juga nanti pagar juga yang memakan padi.

Saya mempunyai seorang kakak yang sudah tua, dan tinggal di kampung, tidak pernah bersekolah dan tidak pandai bertutur dalam bahasa Inggeris. Kakak saya itu sudah mulai sakit-sakit dan sering juga ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Dia berharap dapat menceritakan hal penyakit yang ditanggungnya itu kepada doktor yang faham bahasanya iaitu bahasa Melayu. Malanglah bagi kakak saya itu dan orang sepertinya sekiranya doktor yang merawat mereka tidak memahami bahasa Melayu secukupnya nanti.

PROFESOR EMERITUS DATUK DR. HASHIM YAACOB ialah bekas Naib 
Canselor Universiti Malaya (UM).

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain