“Kampung Baru!”

“Meh saya hantarkan...” pelawanya. “Saya akan bermalam di rumah Pak Nora Johor!” jelas saya. Wahab Ali serumah dengannya. Nora di Utusan Melayu. Dan Wahab Ali menjadi guru di Datuk Keramat.

Saya naiki kereta Vauxallnya. Politikus kawakan ini merendah diri. Keretanya meluncur membelah Jalan Maharajalela.

“Itu nama kau yang lulus HSC dalam NST.”

“Ya, Pak!”

“Tahniah!” Kereta sesak di Jalan Kuching. Itu tak mencegahnya bercerita peristiwa yang dialami waktu mahu berucap di Padang Batu Burok, Kuala Terengganu.

“Saya berdiri hampir setengah jam!”

“Tak ada khalayak?”

(GAMBAR FAIL) AHMAD BOESTAMAMIMBASAN:10 JANUARI 2003

“Ada, mereka menjauh, di tepi-tepi padang. Takut agaknya. Maklumlah saya baru keluar penjara!” Dia tertawa. Saya menatap janggutnya yang melekap aman di bahagian dagu. Dia berkumis nipis. Rambutnya ikal, matanya tajam.

“Saya merenung mereka dari sudut ke sudut. Lama-lama mereka merapat ke podium. Dan khalayak bertambah dan bertambah...” kata Pak Ahmad Boestamam, mulalah dia membaca Bismillah dan seterusnya memberikan salam, dan meneriakkan “Merdeka!” Teriakan itu disambut gemuruh. Ombak yang berkecipak, angin yang menderu turut menyambut teriakan merdeka itu. Dari setengah jam berucap, hinggalah satu jam setengah. “Mereka asyik mendengar, data dan fakta yang saya huraikan,” sambungnya.

Nama asalnya Abdullah Sani bin Raja Kechil. Nama itu seolah dipadamkan oleh nama Ahmad Boestamam. Nama lain yang digunakannya Ruhi Hayat dan Jiwalara. Abdullah Sani dilahirkan di Kampung Behrang Ulu pada 30 November 1920. Waktu dalam darjah 5 dia melalui peperiksaan khas untuk ke sekolah Inggeris. Dia berjaya cemerlang dan memasuki kelas peralihan di Sekolah Anderson, Ipoh. Pada umur 15 tahun minatnya kepada penulisan mula merecup. Dia menulis dalam akhbar Saudara.

Pelajarannya terganggu dan gagal dalam peperiksaan Junior Cambridge. Tetapi kegagalannya ini diatasinya dengan berjaya dalam peperiksaan kelayakan untuk mengambil HSC (1963-1967). Beliau menyambung pengajian ke London untuk mengambil jurusan perundangan. Tetapi beliau tidak meneruskan sebaliknya berjaya mendapat diploma kewartawanan daripada The Premier Journalist School (1969). Beliau berguru dengan wartawan senior seperti Ahmad Noor Shukur (akhbar Saudara), Pak Sako di Utusan Melayu. Abdul Rahim Kajai sebagai Ketua Pengarang. Dia turut bekerja dengan Ibrahim Yaakob dalam Warta Malaya dan juga dengan Majlis. Apabila Ibrahim Yaakob menubuhkan Kesatuan Melayu Muda (KMM), Ahmad Boestamam menjadi ahli jawatankuasa, kemudian menjadi Setiausaha Agung.

Di zaman Jepun, Ahmad Boestamam menjadi Sasden Ka, yakni menapis cerita bangsawan Melayu yang akan dipentaskan. Beliau pernah menjadi sidang pengarang Warta Perak dan pada 1945 berkhidmat dengan Melayu Raya. Apabila tentera Inggeris kembali ke Malaya, Ahmad Boestamam menjadi sidang pengarang Suara Rakyat di Ipoh. Waktu inilah tercetusnya idea menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Beliau sendiri menjadi ketua sayap, Angkatan Pemuda Insaf (API) dengan slogannya `Merdeka dengan Darah’.

Beliau menolak langsung campur tangan Inggeris dalam kemerdekaan Malaya. Beliau mengajukan Perlembagaan Rakyat. Inggeris menawarkan alternatif lain berdasarkan konsep Malayan Union. PKMM menolak mentah-mentah. Pada 1955 Ahmad Boestamam ditangkap. Apabila beliau bebas pada 1956, beliau menulis cerita pendek dengan nama pena Jiwalara.

Ahmad Boestamam pernah menikahi Shamsiah Fakeh, nasionalis kiri dan komunis dalam tempoh yang singkat. Mereka bercerai (1947) kerana berselisih faham dengan denda yang harus dibayar oleh Ahmad Boestamam kerana tulisannya. Shamsiah menentang. Puteranya Rustam A. Sani mengikut jejak langkah ayahnya. Bijak berpidato, punya bakat memimpin dan menjadi pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Tetap Rustam meninggal dalam usia 60 tahun.

Bakat kepengarangan dan kepenyairan Ahmad Boestamam terserlah. Beliau menulis Pacar Merah Malaya (1948), Gelap Menjelang Terang (1956), Kabus Pagi (1958), Api dan Airmata ( (1967), Rumah Kaca Digegar Gempa (1969), Merintis Jalan ke Puncak (1971), Dr. Burhanuddin Putera Setia Malaya ( 1972), Tujuh Tahun Malam Memanjang ( 1976), Sorotan Sekilas (1981), Lambaian Dari Puncak (1983), Testamen Politik Api, Memoir Ahmad Boestamam: Merdeka dengan Darah Dalam API (2004).

Ahmad Boestamam sedar pengaruh Parti Komunis Malaya (PKM) tetapi dia tidak membiarkan PKMM hanyut dalam pengaruh tersebut. PKMM seperti yang diasaskan oleh Ibrahim Yaakob mahu Malaya merdeka dalam Indonesia Raya. Ahmad Boestamam ikut menyertai gagasan ini. Perjuangan PKMM disokong oleh KRIS (Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung). Inggeris menganggap Ahmad Boestamam tokoh politik yang berbahaya kepada cita-cita Inggeris untuk menyokong UMNO.

Pada 1955 Ahmad Boestamam menubuhkan Parti Rakyat Malaya berteraskan sosialisme dan marhaenisme mirip dengan gagasan Soekarno. Dia bekerjasama dengan Parti Buruh dan menubuhkan Socialist Front. Pada 1959 Ahmad Boestamam memenangi kerusi Parlimen Setapak menewaskan Aishah Ghani.

Pada 1963 Ahmad Boestamam ditangkap kerana menentang Gagasan Malaysia dan dituduh menyokong Presiden Soekarno. Dia dibebaskan pada 1967. Kawan-kawan yang mengenali Ahmad Boestamam menganggapnya seorang politikus yang keras hati, non-compromist. Sewaktu dalam tahanan, beliau menulis novel Merangkaklah Senja Menutup Pandangan. Dalam Pilihan Raya 1974, beliau gagal lalu meletakkan jawatan pimpinan Pekemas dan menyertai Socialist Front (PRSM).

Sebagai politikus yang kawakan namanya tercatat dalam Encyclopedia of World Politics tulisan Walter Theimer. Usman Awang menyebutnya: ``Putera besar tanah air, gigih seperti Api yang dinyalakannya’’; Keris Mas menganggap ``Darah senimanlah yang menjadikan Ahmad Boestamam berperasaan, menjadikan dia tak menunduk kepala atau mengalah dalam perjuangan.”

Kerana jasanya itu beliau dianugerahkan Kerajaan Negeri Sarawak Darjah Kebesaran Panglima Negara Bintang Sarawak (1976) bergelar Datuk. Ahmad Boestamam patriot hebat ini meninggal dunia pada 19 Januari 1983 kerana penyakit paru-paru berair di Kuala Lumpur.