Dahulu saya juga pernah menulis dalam ruangan ini mengenai ekonomi kita, rakyat menjadi takut kerana jumlah RM1 trilion yang diumumkan oleh Lim Guan Eng dalam mata wang ringgit nampak besar oleh rakyat tetapi kesemua negara yang berhutang adalah dikira dalam dolar Amerika Syarikat (AS). Kita mempunyai simpanan yang dikira dalam dolar AS.

Saya ingin bertanya kepada Guan Eng. Jumlah hutang negara dikira semasa pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri terdahulu termasuklah yang selama 22 tahun. Cuba Guan Eng semak semula, jangan terlalu seronok mahu malukan kerajaan terdahulu.

Saya dan kawan-kawan merasa pelik formula kiraan apa yang Perdana Menteri dan Menteri Kewangan kini gunakan sampai boleh membuat kesimpulan bahawa Najib tidak tahu menguruskan ekonomi negara.

Pemimpin Pakatan Harapan kata negara akan muflis tetapi tahukah anda  Najib telah mengeluarkan negara dari Middle Income Trap?

Kami berkira-kira lagi enam bulan negara akan masuk fasa pengelasan Bank Dunia dikenali sebagai Low Income Countries Under Stress (LICUS). Bila sudah masuk fasa ini, maka Malaysia ‘negara rapuh’ dan ekonomi kita akan merudum serta tiada pelaburan asing masuk dan inflasi meningkat.

Mungkin pemimpin kita sudah tahu tetapi jika mereka gagal tangani ekonomi negara, mereka akan menuduh terus kepada pemimpin masa lalu yang boros.

Sama ada pemimpin PH menipu, menakutkan atau untuk memancing undi rakyat, setiap saat akan   menghampiri tarikh akhir janji 100 hari. 

AZAM
Johor