Adapun mualaf itu merupakan panggilan kepada individu bukan Muslim atau bukan beragama Islam yang mempunyai keinginan untuk memeluk Islam. Mereka ini juga boleh dikategorikan sebagai individu yang imannya masih kosong dan perlu dikukuhkan dengan bantuan dan sokongan mereka yang sudah beragama Islam.

Dalam sejarah Islam , golongan mualaf atau saudara baharu ini merupakan orang yang paling penting dalam memperjuangkan agama dan mengembangkan dakwah.

Antaranya adalah sahabat Rasulullah SAW yang terdiri daripada golongan Muhajirin yang memeluk Islam dan mengikut baginda berhijrah dari Mekah ke Madinah manakala golongan Ansar pula terdiri daripada suku Aus dan Khazraj.

Pada zaman moden yang serba canggih kini, usaha dalam mengembangkan dakwah menjadi mudah dan lebih meluas dengan adanya pelbagai platform yang tersedia seperti media sosial di internet.

Setiap hari kita didedahkan dengan pelbagai cerita menarik saudara baharu daripada seluruh dunia. Kisah- kisah yang mereka ceritakan termasuklah bagaimana mereka diberi hidayah, menemui dan mengenali agama Islam serta rintangan yang mereka hadapi setelah memeluk Islam.

Bergelar saudara baharu bukan perkara mudah. Kerana, seperti mereka yang lahiriah Islam, golongan mualaf juga berdepan banyak rintangan dan cabaran dalam kehidupan mereka.

Tambahan pula dengan kemajuan teknologi kini, pelbagai informasi sama ada sahih atau yang mengelirukan semakin pantas tersebar dan ini tidak terkecuali memberi kesan kepada kehidupan seorang mualaf.

Dalam pada itu, dengan kewujudan anasir-anasir perosak yang membawa ajaran-ajaran menyimpang dengan menggunakan nama Islam dikhuatiri akan membawa kekeliruan kepada golongan saudara baharu.

Bagi golongan mualaf yang masih muda, cabaran yang ditempuhi mereka tidak kurang hebatnya. Membuat keputusan memeluk Islam bukan perkara remeh. Ada di antara mereka yang terpaksa merahsiakan identiti sebagai seorang Islam bagi menjaga perasaan ahli keluarga dan orang tersayang.

Seperti kita semua, mereka juga mempunyai perasaan dan adakalanya dihimpit dengan tekanan yang menyusul selepas bergelar seorang Muslim. Ada di antara mereka dibuang daripada institusi keluarga dan dipulaukan rakan-rakan hanya kerana memeluk agama Islam.

Namun kebanyakan saudara-saudara baharu menyatakan kepada penulis bahawa mereka reda dan menganggap ini sebagai satu ujian yang diberikan kepada mereka. Golongan mualaf ini jelas tabah dalam mengharungi cabaran demi agama Islam yang dicintai.

Tambahan pula, dengan adanya pertubuhan atau persatuan yang memainkan peranan melindungi dan memberi sokongan kepada golongan ini sedikit sebanyak mampu memberi bimbingan kepada saudara baharu.
- AL FAIZAL