Rektornya, Prof. Dr. Anuar Ahmad berkata, sejak diperkenalkan pada awal tahun ini seramai 74 orang pelajar tahfiz, madrasah dan sekolah pondok telah menyertai program itu dengan 12 orang daripadanya merupakan pelajar perempuan.

Katanya, inisiatif tersebut bertujuan membolehkan pelajar yang berpotensi terus dibimbing melalui usahasama dengan TATIUC, malah mereka yang mencatatkan pencapaian yang baik akan turut ditawarkan melanjutkan pengajian di peringkat asasi dan diploma.

Beliau berkata, yuran yang dikenakan ke atas pelajar sangat berpatutan dengan persekitaran pembelajaran yang kondusif di samping kemudahan sukan dan riadah yang lengkap.

“Pelajar yang berminat perlu lulus ujian bertulis dan temu duga khas di samping menghafal sekurang-kurangnya 10 juzuk Al-quran.

“Mereka juga berpeluang menyambung pengajian dalam bidang sains teknikal serta perniagaan dan pengurusan,” katanya dalam sidang akhbar di Unit Penerangan Darul Iman (UPDI) di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Anuar mengalu-alukan mana-mana pelajar yang berminat untuk menyambung pengajian di peringkat asasi, diploma dan ijazah di institusi tersebut.

Katanya, semua pelajar yang mengikuti program asasi berpeluang menikmati manfaat Biasiswa Terengganu Sejahtera berjumlah RM3,230 sepanjang pengajian manakala bantuan sara hidup sebanyak RM800 setiap semester pula diberikan kepada pelajar diploma dan bagi ijazah (RM1,000 setiap semester).

Berdasarkan rekod, sebanyak 51 peratus pelajar TATIUC merupakan anak negeri manakala baki 49 peratus merupakan pelajar luar Terengganu. - UTUSAN ONLINE