Video berdurasi 5 minit 1 saat hasil itu membawa mesej ekologi dan hasil karya sepenuhnya lima pelajar Tingkatan Dua sekolah tersebut.

Pelakon utama filem yang bertajuk 'Tresure' itu ialah Izz Danial Mohd. Hisham yang turut bertindak sebagai penulis skrip manakala Mohamad Aliff Daniel Ganti bertindak sebagai pengarah serta penyunting. Kedua-dua mereka dibantu oleh tiga lagi rakan.

Pertandingan tersebut turut disertai Maul High School, Amerika Syarikat; Elite Private School, Arab Saudi; Archimedes Academy, Thailand; CCC Fong Yun Wah Secondary School, Hong Kong; Tokyo Metropolitan Takikawa School, Japan dan Sole Secondary School, Tanzinia.

Pengetua SMK Tok Janggut, Noor Khairiah Khoor Abdullah berkata, dua pelajar iaitu Izz Danial dan Aliff Daniel bersama guru pengiring, Mohamad Faiz Yaakub ke Jepun selama enam hari dengan membawa balik plak dan sijil kejayaan.

Beliau berkata, pada tahun lepas, dua pelajar lain turut berpeluang ke negara matahari terbit di atas kejayaan dan kreativiti mereka menghasilkan video bisu selepas mendapat tempat pertama di peringkat Kementerian Pendidikan.

"Warga sekolah bangga dengan kreativiti yang diserlahkan di bawah bimbingan Mohamad Faiz termasuk kejayaan filem pendek berjudul 'Hope' yang dipertandingkan di peringkat Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) dengan mendapat tempat yang ketiga.

"Namun, jalan cerita 'Hope' terpilih untuk dimasukkan dalam buku Teks Pendidikan Moral Tingkatan 4 mulai tahun depan dengan paparan gambar lakonan Izz Daniel," katanya ketika ditemui di SMK Tok Janggut, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir meraikan pelajar terbabit, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (Kokurikukum), Pakuruzi Mat Yusof dan Penyelia Pendidikan Kokurikukum, Zulhaimi Mohamed.

Sementara itu, Izz Danial ketika ditemui berkata, pertandingan itu memberi peluang kepadanya mengambil inisiatif memperkenalkan songkok dan baju Melayu yang lengkap dengan samping kepada dunia.

"Banyak ilmu yang dipelajari di negara berkenaan walaupun dalam tempoh yang singkat. Kami didedahkan dengan teknik pembikinan video menggunakan drone, teknologi 3D, mengadaptasi suara ke video dan pelbagai lagi.

"Idea menghasilkan video ini tercetus apabila melihat pelajar yang gemar membuang sampah di persekitaran sekolah. Penggambaran video yang dihasilkan tanpa perbelanjaan besar itu disiapkan dalam masa sehari, manakala penulisan skripnya disiapkan dalam tempoh seminggu," katanya. - UTUSAN ONLINE