Semalam, Ragendran, 21, dari Mentakab, Pahang itu akhirnya berjaya membuktikan keputusan yang dibuat dahulu ternyata berbaloi dan lebih manis lagi dia turut menerima Anugerah Canselor pada majlis Konvokesyen RETI dan Ranaco Marine Sdn. Bhd., (RMSB) yang berlangsung di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman (MPK).

Menurut pelajar Diploma In Occupational Safety And Health (DIOSH), selama mengikuti pengajian, dia sentiasa mendapat sokongan padu daripada ibu-bapa selain sistem pembelajaran yang mudah difahami dan tunjuk ajar daripada tenaga pengajar serta rakan-rakan membolehkannya mendapat 3.95 dalam Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK).

“Di samping dapat sokongan kuat daripada ibu-bapa, saya juga dapati sistem pembelajaran mudah difahami serta dapat tunjuk ajar daripada tenaga pengajar dan rakan-rakan walaupun di luar waktu belajar, semua ini membantu saya mendapat keputusan cemerlang,” katanya ketika ditemui dalam majlis konvokesyen itu.

Ragendran memberitahu, sebaik sahaja tamat menjalani latihan praktikal selama enam bulan di sebuah syarikat di Rawang, Selangor, beliau terus ditawarkan bekerja dengan syarikat tersebut.

Pada masa ini, beliau bertugas sebagai seorang penyelia keselamatan tapak di sebuah kuari, Oriental Fortunes Sdn. Bhd. dengan gaji RM2,700 sebulan selain disediakan kenderaan serta tempat tinggal.

Ragendran yang bercita-cita menjadi pegawai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHE) berkata, buat sementara ini beliau bekerja untuk mencari pengalaman dan berhasrat menyambung pengajian ke peringkat ijazah di RETI kelak.

Sementara itu, penerima Anugerah Kapten Ramlan dan Anugerah Perdana, Mohamad Azri Peniran, 21, pula berkata, RETI telah menyediakan suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan tiada jurang antara tenaga pengajar dengan pelajar.

“Tiada jurang antara kami (tenaga pengajar dan pelajar), mereka seumpama sahabat yang boleh diajak berbincang pada bila-bila masa,” kata anak keempat daripada lima beradik dari Pasir Gudang, Johor yang mendapat 3.85 PNGK.

Seramai 713 graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing dalam Majlis Konvokesyen ke-11 RETI dan RMSB semalam yang disempurnakan oleh Canselor RETI, Datuk Ir. Abdul Hak Mad Amin. Yang hadir sama Ketua Eksekutif RETI, Mohamad Ayub Ariffin. - UTUSAN ONLINE