Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, alasan Maszlee kononnya penawaran itu berdasarkan kepada keperluan semasa dan melibatkan kekosongan kuota bumiputera yang tidak diisi juga adalah tidak tepat.

"Sangat memalukan bagi Menteri Pendidikan (Maszlee) menjadikan kerajaan BN dahulu sebagai kambing hitam atas kegagalan Kementerian Pendidikan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) memasukkan kaum India yang cemerlang ke dalam program matrikulasi tahun ini.

"Kerajaan BN amat komited untuk membantu kaum India dalam segala bidang, sebab itulah 1,500 tempat ditawarkan untuk program matrikulasi kepada kaum India secara tetap bermula daripada pengambilan 2012," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Kementerian Pendidikan semalam yang memaklumkan penawaran 1,000 tempat untuk kaum Cina yang dibuat oleh kerajaan PH pada tahun lalu adalah perkara sama yang dilakukan kerajaan BN bagi kaum India.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, komitmen BN untuk membantu kaum India dipertingkatkan pada 23 April 2017 apabila pihaknya melancarkan Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia sebagai satu dokumen rasmi kerajaan untuk pembangunan komuniti itu bagi tempoh 10 tahun akan datang.

Tambah beliau, antara komponen penting pelan tersebut adalah janji kerajaan BN untuk melakukan intervensi-intervensi tertentu bagi meningkatkan enrolmen pelajar-pelajar kaum India di universiti awam, kolej dan politeknik sekurang-kurangnya tujuh peratus.

"Pada 24 Mac tahun lalu, Datuk Seri Najib Tun Razak juga ada mengumumkan kerajaan sedang mengkaji langkah untuk menambah bilangan pelajar kaum India di kolej itu dan universiti awam termasuk mengkaji tambahan bidang atau tempat matrikulasi.

"Ini diikuti dengan pengumuman pada 7 April tahun sama bahawa Kementerian Pendidikan di bawah pimpinan saya bersetuju menambah 700 lagi pelajar kaum India ke kolej matrikulasi bermula sesi pengajian tahun itu yang menjadikan keseluruhan 2,200 pelajar. Pengumuman itu bukti jika BN masih menjadi kerajaan bilangan 2,200 itu akan dikekalkan pada tahun seterusnya," jelasnya.

Sehubungan itu, Naib Presiden UMNO tersebut berkata, tidak menghairankan apabila pengundi kaum India di Rantau kembali menyokong BN dalam pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu baru-baru ini kerana kerajaan PH ternyata gagal menjaga kepentingan mereka.

"Antara janji-janji PH untuk masyarakat India yang 'dicapati' adalah membiayai sepenuhnya semua Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), menubuhkan sekolah menengah Tamil, menambah jumlah pelajar kaum India di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) serta akan membuka lebih banyak ruang untuk anak-anak kaum India memasuki asrama di sekolah-sekolah menengah harian," katanya. - UTUSAN ONLINE