Chun yang merupakan satu karakter tradisional bahasa Cina membawa maksud musim bunga.

Pengarah program itu, Nur Afiqah Farisya Shahrulafizal berkata, sijil pengiktirafan itu disampaikan oleh Pegawai Pejabat MBR Sdn. Bhd., Lee Pooi Leng kepada Rektor UiTM Kampus Kedah, Prof. Dr. Shaiful Annuar Khalid.

Katanya, majlis itu disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Alam Sekitar negeri, Simon Ooi Tze Min.

“Acara ini dibantu oleh seramai 20 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merbok yang bermula pukul 9 pagi.

“Semua pelajar yang melakukan acara ini adalah dalam kalangan pelajar Melayu dan usaha begini mampu memupuk semangat perpaduan pada generasi muda,” katanya sempena berlangsung International Festival of Chinese Culture and Language 2019 (i-FOCCAL 2019) di UiTM di sini.

Sehubungan itu, Nur Afiqah Farisya mengucapkan terima kasih kepada dua orang tenaga pengajar Kelab Mandarin UiTM Kedah iaitu, Dr. Nor Azrina Mohd. Yusof dan Lee Chai Chuen kerana banyak memberi tunjuk ajar bagi menghasilkan keratan kertas itu.

Menurutnya, tujuan diadakan program seumpama ini adalah bagi memperkenalkan kesenian masyarakat Cina kepada pelajar- pelajar Melayu.

Sementara itu, Simon Ooi turut memuji usaha dan penglibatan pelajar Melayu di UiTM Kedah untuk belajar memahami kebudayaan masyarakat Tionghua di negara ini.

“Ini satu cara baik untuk pelajar di negara ini ke arah mengwujudkan sifat saling hormat-menghormati di antara satu sama lain.

“Pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS) berupaya hidup dalam keadaan harmoni jika sanggup mempelajari perkara-perkara yang baik ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE