Seiring dengan konsep kesejagatan budaya itu, pelajar Ijazah Sarjana Pengurusan Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Pusat Hubungan Antarabangsa (UKM Global) sekali lagi menganjurkan Hari Antarabudaya 2019 yang diadakan setiap tahun sejak 2016.

Pensyarah Kanan, Pusat Komunikasi dan Masyarakat Digital, FSSK, UKM, Prof. Madya Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, program itu adalah sebagai platform bertukar fikiran mengenai kepelbagaian budaya dunia serta mempromosikan pengantarabangsaan dalam kalangan pelajar.

Dengan pelbagai pengisian program seperti persembahan kebudayaan dari pelbagai negara serta sesi dialog yang menampilkan ikon Malaysia seperti korografer seni tarian klasik India terkenal tanah air, Datuk Ramli Ibrahim dan rakyat Malaysia pertama yang menjejak kaki di puncak Everest, Datuk M. Magendran, beliau yakin, majlis itu memberi pendedahan, keterbukaan minda dan menarik minat pelajar untuk lebih menghormati seni dan kebudayaan negara-negara lain.

“Dengan mengambil bahagian dalam acara ini, pelajar antarabangsa khususnya akan lebih memahami budaya tradisional yang sangat unik ini.

“Kami mahu mempromosikan pengantarabangsaan dalam kampus, kami mahu pelajar-pelajar UKM menikmati satu proses pengantarabangsaan yang mana mereka bukan sahaja mempelajari budaya Malaysia, bahkan budaya dunia,” katanya di UKM baru-baru ini.

Majlis yang disertai lebih 250 pelajar dari pelbagai negara termasuk Jordan, India, Nigeria, Pakistan, China dan Indonesia itu dirasmikan Pengarah UKM Global, Prof. Madya Dr. Yazrina Yahya.

Tambah Abdul Latiff, kepelbagaian budaya yang datang dari setiap negara mencorakkan lagi landskap kebudayaan dan kesenian majlis ini, sekali gus memupuk sikap persefahaman dan toleransi yang tinggi dalam kalangan pelajar.

Pada masa yang sama, katanya, antara lain program itu turut menjadi wadah kepada pelajar antarabangsa dan juga tempatan menonjolkan bakat dan budaya negara masing-masing, selain meningkatkan pengetahuan serta berkongsi etnik budaya sesebuah negara.

“Saya yakin program untuk memartabatkan kepelbagaian budaya ini memberi pengalaman yang tidak dapat dilupakan kepada semua,” tambahnya.

Sementara itu, seorang pelajar dari Nigeria, Blessing, 28, berkata, dia tidak menyangka Hari Antarabangsa ini benar-benar mengujakan terutama ketika menyaksikan tarian kebudayaan Nigeria di pentas UKM.

“Selain mempelajari kebudayaan pelbagai negara, saya juga berpeluang membina rangkaian kenalan baharu di sini,” katanya.

Pelajar dari Universiti Sriwijaya (Unsri), Indonesia, Naura Lisnarini, 20, pula berkata, menghadiri program ini meninggalkan kenangan yang sangat indah.

“Seronok dapat melihat kepelbagaian budaya yang ditonjolkan menerusi pakaian tradisional,” katanya.