Jagam dalam kenyataan memberitahu, ekspo berkenaan akan dijalankan selama tiga hari di tiga buah destinasi berbeza dari pukul 10 pagi hingga 4.30 petang.

Destinasi pertama ekspo tersebut dijalankan adalah di Holiday Villa, Johor Bahru pada Sabtu ini manakala Hotel Jen, Pulau Pinang pada hari keesokannya.

Hari ketiga, iaitu pada hari Isnin, ekspo berkenaan akan diadakan di Park Royal Hotel, Kuala Lumpur.

Jelas Jagam lagi, pelbagai kursus ditawarkan pada expo tersebut antaranya kursus pembuatan anime dan digital, bahasa, perniagaan and juga sains.

Kata kenyataan berkenaan, para pengunjung juga boleh mengetahui lebih lanjut tentang kursus sarjana muda dan sarjana pentadbiran perniagaan (MBA) dari universiti terkemuka di Jepun seperti University of Tokyo, Waseda University dan University Tsukuba.

Kenyataan itu malah memberitahu, kerajaan Jepun dan pihak universiti juga menawarkan biasiswa serta geran untuk menarik minat rakyat Malaysia untuk melanjutkan pelajaran ke Jepun dan keutamaan diberikan kepada pengunjung expo.

Selain itu, kata Jagam, pengunjung juga berpeluang untuk memenangi program pertukaran pelajar ke Jepun yang ditaja sepenuhnya.

"Mempercayai bahawa pendidikan merupakan batu loncatan untuk masa depan dan selari dengan matlamat tersebut, Jagam menganjur dan menguruskan expo pendidikan untuk membantu pelajar Malaysia yang berminat untuk menyambung pelajaran di Jepun untuk bertemu dengan wakil-wakil dari universiti terkemuka dan institusi pendidikan tinggi di Jepun.

"Satu sesi istimewa bersama bekas graduan dan juga penasihat Jagam, Goh Peng Ooi yang merupakan Pengasas dan Ketua Pengerusi Eksekutif Silverlake Group berkongsi pengalaman tentang pendidikan Jepun menyumbang kepada karier dan perniagaan mereka," kata kenyataan itu. - UTUSAN ONLINE