Ari Muyang umpama sambutan hari raya bagi masyarakat Mah Meri dengan setiap keluarga akan menyediakan hidangan istimewa, selain menghias kediaman mereka.

Ritual itu diraikan oleh lebih 3,000 anggota masyarakat tersebut yang mendiami lima kampung di sekitar Pulau Carey, kira-kira 76 kilometer dari Kuala Lumpur.

Selain Kampung Orang Asli (KOA) Sungai Judah, empat lagi kampung di Pulau Carey adalah KOA Bukit Bangkong, KOA Sungai Kurau, KOA Sungai BumBun dan KOA Sungai Jugra.

Tok Batin KOA Sungai Judah, Daiman Peron, 69, menceritakan upacara itu diadakan bagi memperingati nenek moyang mereka serta memohon kesejahteraan keluarga, penduduk dan tempat tinggal mereka di situ.

TONGKANG 
DILANDA RIBUT

Suasana meriah apabila penduduk pelbagai peringkat umur bergotong-royong membuat persiapan termasuk memasak dan menyiapkan perhiasan menggunakan daun nipah dan mengkuang.

Ari Muyang disambut pada tarikh yang ditetapkan Lembaga Adat Kampung itu, berdasarkan kalendar Cina. Bagi tahun ini, sambutan hari kebesaran masyarakat itu diadakan seminggu selepas perayaan Tahun Baru Cina.

Daiman berkata, mengikut cerita tradisi masyarakat itu, kira-kira 200 tahun dahulu, sebuah tongkang yang membawa penumpang dan barangan terperangkap dalam ribut di pesisir Pulau Carey, berhampiran Tanjung Rhu.

“Penduduk tidak menyangka tongkang tersebut selamat dan dikatakan tongkang itu kelihatan dibawa ke pantai oleh satu kuasa misteri,” katanya.

Berikutan kejadian itu, katanya, penduduk percaya bahawa semangat yang dikenali sebagai Moyang Getah menyelamatkan tongkang itu, menyebabkan ritual itu diadakan bagi menghormati semangat tersebut.

Masyarakat Mah Meri popular dalam kalangan pelancong kerana kehalusan seni budayanya seperti ukiran kayu anak kera yang bergayut pada emaknya. Ukiran itu mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) dan kebanyakan seni ukiran bertemakan dewa, manusia, flora dan fauna.

Selain itu, tarian topeng yang dipanggil Mayin Jo’oh juga terkenal dan dipersembahkan untuk ‘menjemput’ roh nenek moyang untuk menyertai temasya yang mereka adakan.

Tarian itu dipersembahkan oleh dua penari lelaki bertopeng yang dikenali sebagai Tok Pongkola dan Tok Nania. Mereka akan menari mengikut pergerakan tertentu yang mempunyai cerita tersendiri.

Tarian Jo’oh pula dipersembahkan penari perempuan yang memakai pakaian khas, skirt dan hiasan kepala yang diperbuat daripada daun nipah dan mengkuang.

Nyanyian mereka diiringi pemuzik menggunakan peralatan tuntog (buluh), jule (viola), tambo (gendang dua muka) dan gong tembaga.

Ketika tarian itu berlangsung, seorang Tok Sidang atau pawang akan membaca jampi serapah bagi memohon kesejahteraan hidup dan keselamatan penduduk.

“Upacara ini (Ari Muyang) mengambil masa tiga hari yang mana pelbagai ritual diadakan dengan tertib,” kata Daiman yang merupakan generasi ketujuh Mah Meri.

UPACARA 
‘PANGGIL MOYANG’

Ketika waktu senja, upacara ‘Sanga’ diadakan untuk menghormati moyang-moyang keluarga yang telah meninggal. Semua keluarga menyediakan juadah kesukaan moyang mereka yang kemudian diletakkan di atas para berhias indah di hadapan rumah.

Ketika itu, ketua keluarga akan berdoa supaya dipanjangkan umur, kesejahteraan, dimurahkan rezeki serta memberikan kejayaan kepada keluarga.

Pada tengah malam pula, upacara ‘Panggil Moyang’ diadakan di balai yang mana pawang akan memanggil moyang untuk memberi keizinan dan kesejahteraan upacara Moyang Pantai, yang akan diadakan keesokan hari.

Keesokannya pada pukul 10 pagi, pawang akan memulakan ritual dengan berarak dari balai menuju ke pantai Tanjung Rhu.

Ketika berarak yang memakan masa kira-kira satu jam, penduduk membawa objek yang dinamakan Busu, selain bendera pelbagai warna yang mewakili semangat moyang ke sebuah menara yang dibina di pantai itu.

Setibanya di pantai, penduduk akan berehat dan menunggu air surut sambil tarian tradisional Jo’oh dipersembahkan. Setelah dua jam berehat dan air surut, upacara Moyang Pantai diteruskan dengan pawang bersama penduduk kampung berjalan ke menara yang terletak 500 meter dari darat.

Tarian, nyanyian dan bacaan mantera mengisi ritual sebelum diakhiri dengan kenduri yang disediakan penduduk kampung.

Antara hidangan yang disajikan ialah ketupat dan kuah lokan. - BERNAMA