Mungkin bagi yang bujang atau belum ada anak, ia satu saat untuk melakukan persediaan tertentu bagi meraikannya. Tetapi, bagi pasangan yang ada anak-anak khususnya yang menepati syarat wajib puasa itu, mungkin sedikit bimbang dan berasa ragu.

Antaranya, mungkin bimbang jika usaha menyerapkan kewajiban berpuasa akan menyebabkan anak-anak menjauhi ibadat dalam Rukun Islam itu.

Tetapi pakar psikologi Islam, Dr. Fariza Md. Sham menyifatkan kebimbangan itu tidak seharusnya menjadi isu utama seandainya ibu bapa mengikut panduan yang digariskan oleh Islam.

“Garis panduan itu sudah ada sejak 1,400 tahun lalu, tetapi mungkin kita tidak perasan sangat iaitu bagaimana Rasulullah mengajar ibu bapa untuk mendidik anak-anak bersolat.

“Ulama-ulama berpandangan bahawa latihan berpuasa boleh dimulakan pada usia tujuh tahun seperti mana saranan baginda dalam menggalakkan anak-anak bersolat,” katanya ketika ditemui di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini.

Namun, Felo Penyelidik Kanan di Institut Islam Hadhari UKM itu mengingatkan ibu bapa agar tidak menerapkan unsur-unsur paksaan kepada anak-anak khususnya yang baru berjinak-jinak untuk berpuasa.

Samalah dengan langkah ibu bapa memberi ganjaran wang kepada anak-anak mengikut jumlah hari yang mereka berpuasa penuh kerana dibimbangkan akan wujud trend bahawa jika mahu melakukan ibadat puasa, perlu ada upah atau ganjaran.

Ini kerana katanya, puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, membendung hawa nafsu, jaga tingkah laku dan tutur kata, tetapi ada hikmah tersirat untuk difahami dan diamalkan sepanjang hidup.

“Ibu bapa tidak seharusnya meletakkan kejayaan anak-anak berpuasa sepenuh hari atau sebulan sebagai suatu pencapaian utama kerana ada lagi hikmah lain yang perlu dipelajari dan dihayati mereka.

“Wa­lau­pun anak-anak mampu berpuasa separuh hari atau tidak sepenuhnya, tetapi mereka mema­hami kenapa Allah mewajibkan umat Islam berpuasa. Ia suatu kejayaan membanggakan,” katanya.

Apa tidaknya, Dr. Fariza percaya jika kefahaman sedemikian menjadi lebih utuh dalam jiwa mereka, bukan hanya puasa tetapi amalan ibadat lain akan mereka laksanakan tanpa perlu dipaksa atau disuruh.

Ini sejajar kata beliau, dengan pandangan ulama yang menyifatkan bulan Ramadan sebagai peluang kepada umat Islam memperbaiki mental dan fizikal dalam usaha mencari keredaan Allah.

“Kalau berjaya, mereka akan berjaya menahan diri daripada me­lakukan perkara-perkara lain yang membatal atau mengu­rangkan pahala puasa seperti dari segi tingkah laku dan tutur kata.

“Samalah bila kita latih mereka bersahur kerana tidak mudah nak bangun sahur, tetapi jika mudah bangun awal, maka mudahlah mereka bangun awal untuk solat subuh,” katanya.

Selain itu, beliau turut melihat bagaimana meriah aktiviti kekeluargaan seperti berbuka atau bersahur, solat berjemaah dan tadarus al-Quran yang amat jarang dilakukan secara bersama ketika di luar waktu Ramadan.

“Jadi, kita dedahkan kepada anak-anak bahawa puasa itu bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi lain-lain perkara yang diperintah oleh Allah,” katanya.